Racun rumpai Roundup penyebab kanser, Monsanto diarah bayar AS$2 bilion


Monsanto beberapa kali kalah perbicaraan kes di mahkamah berkaitan racun rumpai Roundup. Syarikat itu menegaskan produk berasaskan glyphosate itu tidak mempunyai kaitan dengan kanser. – Gambar EPA, 14 Mei, 2019.

PANEL juri di California pada Isnin mengarahkan Monsanto milik Bayer membayar lebih AS$2 bilion sebagai ganti rugi kerosakan kepada pasangan yang mendakwa racun rumpai Roundup menyebabkan mereka menghidapi kanser, kata peguam.

Ia adalah kes terbaru melibatkan Monsanto selepas beberapa kali kalah di mahkamah berkaitan racun rumpai Roundup. Syarikat itu menegaskan produk berasaskan glyphosate itu tidak mempunyai kaitan dengan kanser.

Pasukan peguam pasangan tersebut menggambarkan ganti rugi diterima sebagai “bersejarah,” dengan mengatakan ia berjumlah AS$2.055 bilion selepas penambahan AS$55 juta bagi pampasan kerosakan.

“Para juri melihat sendiri dokumen dalaman syarikat yang menunjukkan bahawa, sejak hari pertama, Monsanto tidak pernah mempunyai minat untuk mengetahui sama ada Roundup adalah selamat,” kata peguam plaintif Brent Wisner.

“Daripada melabur dalam kajian sains, mereka melabur jutaan dolar menyerang sains yang mengancam agenda perniagaan mereka.”

Dalam satu kenyataan, Bayer berkata ia kecewa dengan keputusan juri dan akan merayu keputusan itu, yang menurutnya bertentangan dengan kajian terbaru agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat mengenai racun rumpai berasaskan glyphosate.

“Kesepakatan di kalangan pengawal selia kesihatan terkemuka di seluruh dunia ialah produk berasaskan glyphosate boleh digunakan dengan selamat dan glyphosate itu tidak karsinogenik,” kata Bayer.

Keputusan itu adalah kekalahan ketiga Bayer dalam kes dakwaan bahawa bahan kimia dalam Roundup menyebabkan kanser.

Pemaju glyphosate Monsanto disabitkan di Amerika Syarikat pada 2018 dan 2019 kerana tidak mengambil langkah wajar dalam memberi amaran tentang potensi risiko Roundup - racun rumpai mereka mengandungi bahan kimia, yang dua juri California dapati menyebabkan kanser kepada dua pengguna.

“Tidak seperti dua perbicaraan Monsanto yang pertama, di mana para hakim sangat membatasi jumlah bukti plaintif, akhirnya kami dibenarkan menunjukkan kepada juri sejumlah bukti yang menunjukkan manipulasi sains Monsanto, media dan badan pengawal selia bagi mengemukakan agenda mereka sendiri meskipun Roundup membahaykan haiwan dan manusia,” kata peguam Michael Miller, yang menjadi peguam bersama Wisner.

Bayer mengumumkan bulan lalu lebih 13,000 tindakan undang-undang berkaitan dengan racun rumpai dilancarkan di Amerika Syarikat. – AFP, 14 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen