PEMAIN golf terkenal dunia, Tiger Woods berdepan tindakan undang-undang susulan ibu bapa seorang pekerja restoran miliknya di Florida yang maut dalam kemalangan selepas memandu dengan keadaan mabuk, memfailkan saman terhadapnya.
Laman web selebriti, TMZ semalam melaporkan, Ibu bapa Nicholas Immesberger yang meninggal dunia Disember tahun lalu ketika berusia 24 tahun memfailkan saman dengan mendakwa anak lelaki mereka bekerja sebagai pelayan bar di The Woods, Jupiter, Florida dan mengenali pemain golf itu secara peribadi.
Berita tersebar selepas Woods memulakan latihan pagi untuk Kejohanan PGA ke 101, iaitu kejohanan golf kedua terbesar yang akan bermula Khamis ini di Bethpage Black, New York.
Woods mengakhiri kemarau kemenangan selama 11 tahun apabila menjuarai kejohanan Masters bulan lalu dan mencari ruang untuk meraih gelaran utama ke-16 minggu ini.
Beliau menerima anugerah Pingat Kebebasan Presiden bulan lalu pada majlis di White House.
Menurut TMZ, Immesberger diambil bekerja oleh teman wanita Woods, Erica Herman.
“Immesberger tamat bertugas pada 10 Disember namun menghabiskan waktu untuk minum di The Woods dan berada dalam keadaan terlalu mabuk sebelum pulang,” TMZ dipetik sebagai berkata.
Dia hilang kawalan ketika memandu dan terbabit dalam kemalangan sebelum meninggal dunia dengan kadar alkohol sehingga .256, iaitu tiga kali ganda lebih tinggi dari jumlah dibenarkan.
Keluarga mendiang mendakwa, Woods dan Herman tahu mengenai masalah alkohol dihadapi Immesberger namun tetap memberi pemuda itu minum. – AFP, 14 Mei, 2019.
Komen