SEBELAS parti politik kecil Thailand yang masing-masing meraih satu kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum pada 24 Mac lalu, hari ini mengumumkan untuk menyertai Parti Palang Pracharat (PPRP) yang pro junta untuk membentuk kerajaan.
Kesemua 11 Anggota Parlimen (MP) itu juga bersetuju untuk mengundi Jeneral Prayuth Chan-o-cha sebagai perdana menteri untuk memimpin negara.
Pemimpin Parti Ponlamuang Thai, Sampan Lertnuwat berkata kesemua 11 MP bersetuju memberi sokongan kepada PPRP dan Prayuth untuk menubuhkan kerajaan bagi memacu negara itu ke masa hadapan.
“Kami akan memantau PPRP dalam menjalankan pemerintahan negara,” katanya pada sidang akhbar di Bangkok hari ini.
Berikutan pengumuman itu, Prayuth berkemungkinan besar kekal sebagai perdana menteri dan menubuhkan kerajaan baharu pada awal Jun.
Berdasarkan maklumat rasmi yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya pada 8 Mei, ‘front democratic’ yang mengandungi tujuh parti pimpinan Pheu Thai - parti yang ada kaitan dengan Perdana Menteri yang digulingkan Thaksin Shinawatra, memenangi 245 kerusi Dewan Rendah, kurang tujuh untuk mendapat majoriti.
Palang Pracharat menang 115 kerusi dalam Dewan Perwakilan yang mengandungi 500 kerusi, manakala Forward Party (FFP) (80), Democrat (52) and Bhumjaithai (51). Ekoran pengumuman 11 MP tersebut, PPRP yang menyokong Prayuth mempunyai 126 kerusi.
Pengumuman 11 MP itu juga menyaksikan PPRP mempunyai 376 kerusi, sekiranya kesemua 250 anggota Senat yang dipilih oleh junta tentera mengundi Prayuth sebagai perdana menteri yang baharu.
Minggu lepas, Pheu Thai dan sekutunya berikrar akan mengambil tindakan undang-undang untuk mengubah pengiraan senarai parti suruhanjaya itu yang dikatakan menguntungkan PPRP.
Sejumlah 13 parti kecil masing-masing diberikan satu kerusi senarai parti. Ini mengurangkan jumlah kerusi democratic front.
Sementara itu , pemimpin PPRP Uttama Savanayana dan Setiausaha Agung Sonthirat Sonthijirawong hadir dalam sidang akhbar hari ini.
Uttama menyangkal dakwaan kononnya PPRP menawarkan jawatan menteri kepada kesemua 11 MP yang menyertai parti itu.
“Tiada perjanjian seperti itu,” katanya.
Uttama berkata parti itu akan berbincang dengan anggota gabungan tentang polisi yang memanfaatkan rakyat dan negara.
“Kita akan menjadi kerajaan yang stabil sungguhpun terdapat pelbagai parti dalam gabungan,” katanya.
Ditanya sama ada Bhumjaithai dan Democrat akan menyertai PPRP, Uttama berkata perbincangan dan perundingan sedang diadakan.
Bagaimanapun, pemimpin parti Bhumjaithai. Anutin Charnvirakul menyangkal dakwaan bahawa partinya sedang berbincang dengan PPRP bagi menubuhkan kerajaan.
“Tiada sebarang perbincangan, perhubungan atau penawaran sejak dua minggu lepas.
“Kita akan membuat pertemuan pada 20 Mei ini bagi membincangkan perkara itu ,” katanya kepada pemberita hari ini. – Bernama, 13 Mei, 2019.
Komen