Rakyat Iran jadi perisik Britain dipenjara 10 tahun


SEORANG wanita Iran yang bekerja di British Council dijatuhi hukuman penjara 10 tahun atas kesalahan mengintip, lapor laman web badan kehakiman, Mizan Online hari ini.

“Rakyat Iran yang bertugas British Council bekerjasama dengan agensi perisikan Britain,” lapor Mizan memetik jurucakap badan kehakiman, Gholamhossein Esmaili.

Esmaili tidak menyebut identiti suspek tetapi berkata wanita itu dijatuhi hukuman baru-baru ini selepas membuat pengakuan.

Beliau berkata suspek yang diberi tugas untuk menyusun dan mengurus projek “penyerapan” kebudayaan itu ditangkap oleh agensi perisikan dan keselamatan Iran lebih setahun yang lalu.

Hukuman yang dikenakan ke atas suspek mencetuskan kebimbangan kepada United Kingdom.

“Kami ambil perhatian terhadap laporan bahawa kakitangan British Council Iran dijatuhi hukuman penjara atas tuduhan mengintip” kata jurucakap bagi Pejabat Luar dan Komanwel UK.

“Pegawai Kedutaan Britain di Tehran sedang berhubung dengan kerajaan Iran untuk mendapatkan maklumat lanjut.”

British Council adalah sebuah organisasi kebudayaan da pendidikan yang mempunyai cawangan di seluruh dunia. Bagaimanapun, laman webnya tidak diperolehi di Iran.

Pihak berkuasa Iran menutup British Council lebih sedekad lalu kerana “akriviti haram” seperti yang digambarkan oleh Esmaili. – AFP, 13 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen