BEKAS naib menteri kewangan Zhang Shaochun telah dihukum penjara 15 tahun pada Isnin kerana menerima rasuah bernilai 66.98 juta yuan (kira-kira AS$9.8 juta), lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan yang dikeluarkan Mahkamah Perantaraan Rakyat Kedua Beijing.
Pendapatan haram Zhang akan diserah kepada perbendaharaan negara. Dia juga didenda sebanyak 6 juta yuan.
Mahkamah mendapati bahawa antara 1995 dan 2018, Zhang mengambil kesempatan daripada kedudukannya untuk memberi manfaat kepada pihak lain dalam perniagaan, kenaikan pangkat kakitangan dan kemasukan sekolah.
Sebagai balasan, beliau menerima hadiah dan wang tunai bernilai 66.98 juta yuan.
Kenyataan itu menyebut mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas mengambil kira fakta bahawa Zhang telah mengaku bersalah, menunjukkan keinsafan dan bekerjasama dalam memulangkan pendapatan haram yang diperoleh. – Bernama, 13 Mei, 2019
Komen