PRESIDEN Moon Jae In memulakan tahun ketiga beliau menyandang jawatan itu pada Isnin dengan ikrar untuk melipatgandakan usaha perdamaian dan pembaharuan ke arah mencapai kejayaan yang besar, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.
Dalam tempoh dua tahun lepas, beliau berkata kerajaan telah memfokus kepada langkah mengubah “rangka kerja yang besar” dan memperkenal dasar-dasar baharu.
“Bagaimanapun, ia akan menjadi sesuatu yang sia-sia jika tidak mencapai kejayaan,” kata Moon semasa pertemuan rasmi pertamanya dengan pembantu kanan presiden sejak ulang tahun kedua pelantikan beliau minggu lepas.
Moon berkata beliau berusaha untuk “mengubah reka bentuk dan melakukan perubahan epokal” Korea Selatan dengan mengambil kira semangat kebangkitan awam pada akhir 2016 dan awal 2017 terhadap pentadbiran Park Geun Hye.
Beliau mengarahkan para pegawai Cheong Wa Dae untuk meningkatkan usaha bagi mengambil langkah-langkah dasar yang sebenarnya melangkaui perancangan.
Moon berkata beliau telah “mengambil langkah berani dengan mengubah suasana di Semenanjung Korea di mana ancaman peperangan wujud sejak sekian lama.”
“Hasilnya, keamanan di Semenanjung Korea telah menjadi satu trend yang tidak boleh ditarik balik,” katanya.
Beliau menggesa parti politik di negara itu agar berhenti menggunakan isu perpecahan di Semenanjung Korea bagi tujuan politik. – Bernama, 13 Mei, 2019.
Komen