Wanita tetap menjadi tunjang sebuah keluarga, kata Rosmah


Diyana Ibrahim

Rosmah Mansor ketika berucap pada perasmian Anugerah Muslim Rania Sedunia 2017 yang diadakan di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 20 September, 2017.

SEHEBAT mana pun seorang wanita itu sebagai pemimpin, di rumah dia masih juga seorang anak, isteri dan ibu, dan seterusnya tunjang sesebuah keluarga, kata isteri perdana menteri, Rosmah Mansor.

Beliau berkata wanita merupakan tulang belakang yang bukan sahaja memberi sokongan kepada suami dan anak apabila mereka memerlukan pertolongan dan nasihat malah turut berperanan sebagai penenang dan menjaga dengan penuh kasih sayang.

“Wanita adalah inspirasi dan memberikan suami dan anak-anak kekuatan dan galakan untuk mengejar impian mereka,” katanya semasa merasmikan Anugerah Muslim Rania Sedunia 2017 di Kuala Lumpur.

Rosmah berkata sikap kepimpinan wanita yang digunakan dalam menguruskan institusi kekeluargaan secara tidak langsung dapat menjadi contoh kepada anak-anak untuk mewarisi sikap tauladan dan seterusnya melahirkan pemimpin masa hadapan.

“Kepimpinan yang baik pada masyarakat juga sebenarnya bermula daripada didikan di rumah.”

Pada masa sama beliau berkata dasar wasatiyyah yang diamalkan Malaysia berjaya memperkasakan wanita tidak kira dari pelbagai kaum, bangsa, dan agama agar mereka cemerlang melakukan apa saja yang dilakukan.

Malah ia juga dilihat dapat menyerlahkan lagi potensi kepimpinan wanita dalam menjamin perkembangan dan pertumbuhan negara.

“Momentum kepimpinan mereka dikekalkan menerusi pelbagai strategi. 

“Di Malaysia, kerajaan amat peka dan bertindak balas ke atas suara dan hak wanita,” katanya.

Rosmah berkata kerjasama dengan pelbagai pertubuhan telah membawa hasil dalam memperbaiki polisi dan undang-undang untuk hak kesaksamaan wanita.– 20 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen