IPCMC mungkin dilancar akhir tahun ini, kata Muhyiddin 


Chan Kok Leong

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin ketika bercakap kepada pemberita pada sidang media di Putrajaya hari ini. Turut kelihatan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 13 Mei, 2019

KERAJAAN berharap Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) mungkin boleh dilancarkan menjelang akhir tahun ini memandangkan pihak polis sudah menerima suruhanjaya itu, kata Muhyiddin Yassin. 

“Pada awalnya, terdapat beberapa perkara yang mereka tidak jelas tetapi selepas mengadakan pertemuan dengan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), segala keraguan mereka dijelaskan,” katanya menteri dalam negeri itu kepada pemberita di Putrajaya hari ini. 

Menurutnya, persatuan polis juag telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah GIACC Abu Kassim Mohamed baru-baru ini. 

Muhyiddin berkata, kumpulan ini menyatakan kebimbangan mereka mengenai kuasa polis, proses rayuan dan disiplin dalam IPCMC.

“Mereka bimbang polis tidak akan ada skop kuasa. Namun skop kuasa sudah dijelaskan,” kata Muhyiddin. 

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut. 

“Untuk lebih adil, kita perlu lebih banyak butiran undang-undang dan kami akan maklumkan mengenainya kemudian,” tambahya.

Menurut Muhyiddin, GIACC diberikan tugas untuk menyediakan laporan kabinet mengenai IPCMC dan ia akan dibentangkan pada mesyuarat kabinet sebelum dibawa ke Parlimen.

“Ini akan mengambil sedikit masa. Namun undang-undang IPCMC kini sedang dirangka. Kami harap IPCMC akan bersedia sebelum akhir tahun ini,” kata Muhyiddin.

Minggu lalu, Polis Di-Raja Malaysia akhirnya setuju dengan penubuhan IPCMC selepas perbincangan dengan (GIACC). Perbincangan melibatkan 20 wakil jabatan dan persatuan diketuai Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador bersama GIACC yang diketuai ketua pengarahnya Abu Kassim Mohamed.

Perbincangan diadakan selepas bekas Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun dalam kenyataan akhir sebelum bersara berkata warga PDRM termasuk pesara polis membantah penubuhan IPCMC.

Kata Fuzi, pihaknya sudah menulis surat menyatakan pendirian itu kepada kerajaan termasuk memohon satu pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Persetujuan PDRM menamatkan bantahan pasukan polis selama hampir 14 tahun terhadap cadangan yang terkandung dalam laporan siasatan Suruhanjaya Diraja untuk Meningkatkan Pengurusan Operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diumumkan pada Mei 2005, susulan siri kematian tahanan polis.

Pada September tahun lalu, The Malaysian Insight melaporkan Putrajaya setuju menubuhkan IPCMC, yang tertangguh sejak 13 tahun lalu, selepas Bukit Aman gagal mengemukakan pelannya sendiri untuk meningkatkan tadbir urus dalam pasukan polis. – 13 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen