3 letupan gegar selatan Filipina menjelang pilihan raya


Tiga letupan bom menggegarkan bandar Cotabato dan Maguindanao di selatan Filipina, beberapa jam sebelum berlangsungnya pilihan raya pertengahan penggal. – Gambar EPA, 13 Mei, 2019.

SEKURANG-KURANGNYA tiga letupan bom menggegarkan bandar Cotabato dan Maguindanao di selatan Filipina, beberapa jam sebelum berlangsungnya pilihan raya pertengahan penggal, lapor agensi berita Xinhua.

Pegawai Polis Cotabato Leftenan Teofisto Ferrer berkata letupan pertama berlaku kira-kira 10.15 malam Ahad (waktu tempatan) di luar kompleks Dewan Bandaraya Cotabato.

Ferrer berkata suspek yang membaling bom mortar itu masih belum dikenal pasti.

Letupan kedua berlaku kira-kira 1 pagi pada Isnin di sebuah dewan perbandaran di Datu Odin Sinsuat di wilayah Maguindanao.

Kejadian ketiga berlaku beberapa jam kemudian di pekan Datu Odin Sinsuat, Maguindanao kira-kira 7.20 pagi, menurut Ketua Umum Angkatan Tentera Filipina Noel Detoyato.

Tiada sebarang kematian atau kecederaan dilaporkan setakat ini.

Lebih 60 juta pengundi di seluruh negara akan mengundi pada Isnin bagi memilih senator baharu, anggota Dewan Rakyat dan pegawai tempatan. – Bernama, 13 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen