SURUHANJAYA Diraja bagi menyiasat sama ada pihak polis dan perisikan New Zealand berkemungkinan mampu menghalang serangan Christchurch yang mengorbankan 51 orang Islam mula mengumpul bukti pada Isnin.
Ia merupakan siasatan kehakiman paling berkuasa di bawah undang-undang New Zealand akan mengkaji peristiwa yang membawa kepada serangan 15 Mac apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan secara rambang di dua masjid, dalam kejadian yang mengejutkan dunia.
“Ini adalah bahagian penting daripada tindak balas yang berterusan terhadap serangan itu - penemuan suruhanjaya akan membantu memastikan serangan sedemikian tidak akan berlaku lagi di sini,” kata Perdana Menteri Jacinda Ardern.
Agensi perisik New Zealand dikritik selepas serangan kerana lebih memberi tumpuan kepada ancaman daripada militan Islam dan pada masa sama meremehkan bahaya yang ditimbulkan oleh pelampau sayap kanan.
Kesemua mangsa tembakan Christchurch adalah orang Islam dan pembunuhan itu didakwa dilakukan oleh pelampau kulit putih yang mempercayai wujudnya ada plot orang Islam untuk “menyerang” negara Barat.
Suruhanjaya itu diketuai bersama oleh Hakim Mahkamah Agung William Young dan bekas diplomat Jacqui Caine.
Ia dijangka melaporkan penemuannya pada 10 Disember, walaupun ia boleh mengeluarkan cadangan interim sebelum itu jika menganggap ia penting kepada keselamatan awam.
Brenton Tarrant, 28, pengganas berkulit putih, dituduh bertanggungjawab dalam serangan itu dan sedang menjalani ujian psikiatri untuk menentukan sama ada sihat dari segi mental untuk dibicarakan.
Suruhanjaya diraja akan memeriksa aktiviti Tarrant sebelum serangan itu, termasuk bagaimana beliau memperolehi lesen senapang, senjata dan peluru, dan penggunaan media sosialnya.
Sejak serangan itu, kerajaan memperketatkan undang-undang senjata dan mengkaji undang-undang berkaitan dengan ucapan kebencician, serta menggesa syarikat media sosial untuk melakukan lebih banyak untuk memerangi pelampau dalam talian. – AFP, 13 Mei, 2019.
Komen