Rakyat Malaysia tidak ambil pengajaran peristiwa 13 Mei, kata Daim


Vasudevan Vamadevan Sheridan Mahavera

Doa dibacakan di tapak perkuburan mangsa peristiwa rusuhan kaum 13 Mei, 1969 di Sungai Buloh. Menurut angka rasmi, 196 orang maut dalam insiden terburuk dalam sejarah negara itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Mei, 2019.

RAKYAT Malaysia masih tidak belajar daripada rusuhan kaum 13 Mei, 50 tahun lalu kerana masih ada orang yang kekal membangkitkan keganasan etnik untuk memecahbelahkan negara ini, kata Daim Zainuddin.

Daim yang juga pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan berkata ketika Malaysia mengenang ulang tahun ke-50 insiden 13 Mei, berlaku kebangkitan retorik kaum dan agama serentak dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) meraikan tahun pertamanya mentadbir negara, bulan ini,

Daim berkata mereka yang menghasut ketuanan kaum hari ini memilih untuk taksub dengan 13 Mei, bukannya kisah kejayaan rakyat Malaysia berganding bahu menentang penjajah British dan kemudiannya melawan komunis dan tentera Indonesia.

“Kita berlawan bersama untuk menyelamatkan negara ini, kita berjaya, selagi kita bersatu, untuk tujuan yang sama, kita akan berjaya,” kata Daim kepada The Malaysian Insight.

“Tetapi sekali lagi, kita ada kumpulan yang berkata ‘kedudukan kami terancam’. Kita terancam kerana kita tidak bersatu. Jika kita bersama, tidak ada sesiapa boleh ancam kita. Kita berlawan bersama dan menang,” katanya.

“Kenapa kita hantar mesej yang salah pada anak-anak kita? Kenapa? Kita bersama di sini. Sejarah itu sejarahlah, kita kena terima realiti, kita melawan komunis bersama, selagi kita bersatu, kita okay.”

Di sebalik sejarah panjang tentang keharmonian masyarakat hidup bersama, suara-suara perkauman sudah kembali, tambahnya.

“Sekarang ia mula lagi, ini (mesej) yang bahaya kepada anak kita,” katanya merujuk kepada retorik perkauman dan agama yang menjejaskan pentadbiran.

Parti pembangkang, Umno dan PAS mencipta dan menggunakan gelombang nasionalisme Melayu yang diharapkan membantu mereka mengumpulkan sokongan Melayu – yang membentuk lebih 60% pengundi – menentang kerajaan PH.

Umno, PAS dan sekutunya berharap dengan gelombang itu, yang mencetuskan kebimbangan orang Melayu diketepikan, akan membawa mereka memegang kuasa persekutuan pada PRU15.

Terlalu banyak retorik politik

Secara rasminya, 196 orang dipercayai terbunuh dalam rusuhan pada 13 Mei yang berlaku di Kuala Lumpur itu, sehari selepas pilihan raya yang sengit.

Ia membawa kepada pengisytiharan darurat dan negara ini ditadbir oleh kerajaan sementara sehingga 1971 sementara Parlimen digantung.

Daim Zainuddin berkata masih ada rakyat Malaysia yang terus membangkitkan keganasan etnik untuk memecahbelahkan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei, 2019.

Insiden itu juga menyebabkan perdana menteri Tunku Abdul Rahman ketika itu meletak jawatan dan digantikan oleh Abdul Razak Hussein.

“Terlalu banyak retorik politik. Semua ini sudah lama bermula, dari pilihan raya 1959, dan kemudian 1964. Saya buat kajian tentang bagaimana ia bermula, bagaimana ia terbina. Kempennya lebih sebulan,” kata Daim.

Perdana menteri pada masa itu, Tunku Abdul Rahman selalu berfikir yang beliau “perdana menteri paling gembira” tetapi tidak menyedari arus kebencian yang membara dalam kalangan rakyat Malaysia, kata Daim.

“Beliau tidak sedar ada musuh. Semua orang memainkan sentimen perkauman. Ada himpunan, dan seorang pegawai pilihan raya terbunuh, demonstrasi berlangsung di Kuala Lumpur,” kata Daim yang ketika itu berada di Jepun, dalam satu lawatan perniagaan.

Daim menggesa rakyat Malaysia terutama Melayu, untuk pandang ke depan, pada masa depan, bukannya mengenang masa silam.

“Orang Melayu suka lihat benda yang lepas, tetapi yang lepas sudah sejarah. Jadi biarlah jadi pengajaran. Tidak guna bercakap tentang empayar Melaka yang berjaya kerana jika benar ia berjaya, ia tidak akan mungkin ditakluki.

“Fikir saja tentang masa sekarang, masa depan, bagaimana hendak membina negara ini,” katanya, menambah orang Melayu tidak ada pilihan kecuali menerima masyarakat majmuk yang membentuk negara ini dan bergerak bersama-sama kaum lain.

“Kita bersama, kita masih dalam negara ini, yang berdiri bersama dan berlawan bersama. Kita sama ada jatuh bersama atau berjaya bersama, tidak ada pilihan lain,” kata Daim. – 13 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen