RAKYAT Filipina mengundi hari ini dalam pilihan raya yang dijangka mengukuhkan kuasa Presiden Rodrigo Duterte, sekali gus membolehkannya menunaikan janji untuk memperkenalkan semula hukuman mati dan mengubah perlembagaan.
Lebih 18,000 jawatan dipertandingkan, termasuk separuh daripada kerusi senat yang menjadi benteng terhadap beberapa dasar Duterte paling kontroversi.
Duterte terkenal di peringkat antarabangsa kerana mulutnya yang lancang, tetapi masih sangat popular di kalangan rakyat Filipina yang berasa bimbang dengan masalah negara dan pemimpin yang gagal membetulkannya.
Beliau mahu memperkenalkan semula hukuman mati bagi jenayah berkaitan dadah sebagai sebahagian daripada tindakan keras terhadap narkotik yang menyaksikan ribuan suspek dan penagih dadah dibunuh.
Pendirian tegasnya terhadap jenayah - termasuk juga menurunkan umur penjenayah daripda 15 kepada 12 tahun - menjadi kunci kepada kemenangan pilihan raya pada 2016.
Pengundi akan mengundi di pusat pengundian di ibu negara Manila menjelang pilihan raya yang dibuka pada jam 6 pagi (2200 GMT Ahad) yang melibatkan kira-kira 61 juta pengundi berdaftar.
“Saya mengundi banyak calon yang disahkan oleh Presiden Duterte kerana kerajaannya berjaya menjalankan tugasnya,” kata Myrna Cruz, 51.
“Saya menyokong program mereka, termasuk kempen antidadah ... tetapi saya berharap pertumpahan darah akan berhenti,” katanya, sambil mengulangi banyak sokongan rakyat Filipina terhadap tindakan keras itu.
Memenangi majoriti Senat akan memberi sokongan perundangan kepada Duterte bagi cadangan antijenayah dan rancangannya untuk mengubah perlembagaan.
Pembangkang memberi amaran ia yang boleh membawa kepada had tempoh satu penggal bagi jawatan presiden ditarik balik, membolehkannya dipilih semula meskipun berkali-kali menegaskan beliau akan berundur apabila mandatnya berakhir.
Ia juga membolehkannya memperluas tindakan antidadah dengan membawa kembali hukuman mati.
Filipina mengharamkan hukuman mati pada 1987, mengembalikannya enam tahun kemudian dan kemudian dimansuhkan lagi pada 2006.
Pilihan raya di Filipina selalu melibatkan pertumpahan darah. Puluhan, termasuk calon dan penyokong mereka, terbunuh dalam persaingan sengit untuk jawatan, yang merupakan sumber kekayaan dalam sebuah negara yang dibelenggu kemiskinan. – AFP, 13 Mei, 2019.
Komen