PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam mempertahankan dasar tarifnya, menegaskan sekali lagi bahawa China akan membayar berbilion dolar dalam bentuk duti kepada AS, selepas penasihat ekonominya mengatakan kedua belah pihak akan menerima kesan buruk.
“Kita berada pada keadaan yang kita ingini bersama China,” kata Trump di Twitter.
“Ingatlah, mereka telah melanggar perjanjian itu dan cuba membuat rundingan semula. Kita akan mengambil puluhan bilion dolar tarif dari China.”
Malah, kajian menunjukkan rakyat Amerika yang menanggung impak tarif, kerana levi dibayar oleh pengimport akhirnya ditanggung sekurang-kurangnya sebahagian daripadanya oleh pengguna.
Komen Trump itu dibuat selepas penasihat ekonomi Larry Kudlow semalam mengakui bukan China yang sebenarnya membayar tarif.
Trump menuduh Beijing memungkiri komitmennya dalam perbincangan perdagangan dan mengarahkan duti baru, yang berkuatkuasa Jumaat, berhubung import China bernilai AS$200 bilion (RM840 bilion), menaikkannya kepada 25% daripada 10%.
Beliau kemudian mengarahkan kenaikan tarif ke atas hampir semua baki import dari China, yang bernilai kira-kira AS$300 bilion, menurut Wakil Perdagangan AS, Robert Lighthizer.
“Rakyat China akan mengalami kerugian KDNK dan sebagainya susulan pengurangan pasaran dan barang-barang eksport yang mungkin mereka perlukan,” kata Kudlow, sebelum bersetuju dengan Wallace bahawa walaupun China mungkin menerima akibat, perniagaan AS dan pengguna adalah orang yang akan membayar tarifnya.
Bagaimanapun, beliau juga memberi jaminan disebabkan ekonomi AS yang sedang berkembang, ia tidak akan terjejas dengan tarif.
Trump mengarahkan kenaikan duti pada Jumaat selepas dua hari perbincangan untuk menyelesaikan peperangan perdagangan berakhir tanpa perjanjian.
Ia susulan aduan tentang amalan perdagangan Cina yang tidak adil. AS menggesa China untuk mengubah dasar perlindungan harta intelek, serta subsidi besar untuk firma milik negara, dan untuk mengurangkan jurang defisit perdagangan.
Sejak tahun lepas, AS dan China saling bertukar tarif ke atas perdagangan dua hala bernilai lebih AS$360 bilion, menjejaskan eksport pertanian AS ke China dan menekan sektor perkilangan kedua-dua negara.
Kudlow memberitahu Trump dan Presiden China Xi Jinping mungkin bertemu bulan depan di luar sidang kemuncak G20 untuk membincangkan perbezaan mereka dalam perdagangan, tetapi tiada perbincangan baru dijadualkan. – AFP, 13 Mei, 2019.
Komen