Demokrat kemuka sepina dapatkan penyata cukai Trump


Donald Trump memecah tradisi apabila enggan menyerahkan penyata cukainya sebagai calon pada 2016, atau sejak menjadi presiden, mendakwa beliau tidak dapat berbuat demikian kerana sedang diaudit. – Gambar AFP, 13 Mei, 2019.

PARTI Demokrat yang menguasai Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan sepina pada Jumaat terhadap pegawai tertinggi kerajaan yang menuntut penyata cukai Presiden Donald Trump.

Pengerusi Jawatankuasa Kaedah dan Cara Dewan, Richard Neal berkata beliau mengeluarkan sepina kepada Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin dan Pesuruhjaya Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri Charles Rettig selepas mereka terlepas dua tarikh akhir untuk menyerahkan enam tahun data cukai peribadi dan perniagaan presiden.

Trump memecah tradisi dengan enggan menyerahkan penyata cukainya sebagai calon pada 2016, atau sejak menjadi presiden, mendakwa beliau tidak dapat berbuat demikian kerana sedang diaudit.

Sebagai parti majoriti di Dewan Perwakilan Rakyat, Demokrat mempunyai kuasa penyiasatan yang luas.

Mereka mula mengeluarkan sepina terhadap pelbagai bidang sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap campur tangan Rusia dalam pilihan raya AS dan kemungkinan halangan kehakiman oleh presiden.

Neal berkata beliau meminta rekod kewangan sebagai sebahagian daripada tanggungjawabnya untuk melakukan pengawasan terhadap sistem cukai, dan berkaitan dengan penyiasatan meluas terhadap campur tangan Russia pada pilihan raya AS 2016.

“Saya tidak mengambil mudah langkah ini, saya percaya tindakan ini memberikan kita peluang terbaik untuk berjaya dan mendapatkan bahan yang diminta,” kata Neal dalam satu kenyataan.

Pihak republikan dikecam bahawa permintaan itu sebagai bermotifkan politik, dengan Mnuchin menyatakan kebimbangan tujuan sebenar Partai Demokrat adalah untuk menerbitkan penyata cukai presiden.

Permintaan itu dijangka tidak diendahkan, selepas Trump mengatakan beliau menggunakan keistimewaan eksekutifnya untuk menghalang penyerahan penyata cukai kepada Kongres mengenai sebarang bahan berkaitan dengan penyiasatan Rusia.

Keengganan menyerahkan penyata cukai itu hampir pasti akan mencetuskan pertempuran mahkamah yang mungkin berlanjutan selama beberapa bulan, ketika Trump dan Demokrat bersiap sedia untuk bersaing pada pilihan raya 2020. – AFP, 13 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen