KESATUAN Kebangsaan Wartawan (NUJ) telah membangkitkan isu Utusan Melayu Bhd yang lewat membayar gaji kakitangannya kepada perhatian Kementerian Sumber Manusia.
Dalam jawapan kepada The Malaysian Insight, Setiausaha Agung NUJ, Chin Sung Chew berkata, Menteri Sumber Manusia M.Kulasegaran telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut melalui satu mesyuarat, Selasa lalu.
Beliau menjelaskan bahawa ini bukan kali pertama “situasi kritikal” seperti ini berlaku di Utusan, Chin berkata Kementerian Sumber Manusia akan berusaha untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan baik.
“Kami sebenarnya (sudah sampaikan) isu tersebut kepada Kementerian Sumber Manusia. Timbalan menteri Datuk Mahfuz (Mahfuz Omar) akan menjadi penyelaras untuk menyelesaikan masalah itu dengan cara terbaik. “
NUJ berkata pihaknya akan terus meperjuangkan nasib ahli-ahlinya dari cawangan Utusan sehingga keadaan ini selesai.
Chin, bagaimanapun, mengakui situasi masalah kewangan kumpulan media tersebut.
“Kami pasti akan membantu ahli kami dari Utusan untuk berjuang sehingga akhir, tetapi kami faham bahawa syarikat itu menghadapi masa yang sukar pada masa ini dan syarikat itu juga berjanji untuk membayar pekerja mereka secepat mungkin.”
Menurut Chin, gaji yang tertangguh itu sepatutnya dibayar pada akhir bulan, namun pihak pengurusan telah meminta agar diberi lebih banyak masa dan menangguhkan pembayaran itu pada minggu pertama bulan berikutnya.
Sementara itu Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menuntut agar Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bawah kementerian bertindak segera agar pekerja itu menerima gaji.
Parti Umno yang menguasai Utusan sebelum ini juga tidak boleh dibiarkan terlepas dengan mudah, kata setiausaha agungnya MTUC J Solomon .
Katanya, tindakan syarikat berkenaan jelas melanggar undang-undang buruh kerana gagal membayar gaji pada masa sepatutnya dan juga Skim Pemisahan Sukarela (VSS).
“Berdasarkan Seksyen 19 (1) Akta Kerja 1955, pekerja mesti dibayar dalam tempoh tujuh hari selepas tarikh gaji terakhir dibayar.
“Masalah kewangan syarikat bukan satu alasan pekerja tidak dibayar gaji. Masalah kewangan tidak jatuh daripada langit secara tiba-tiba,” katanya.
Beliau berkata JTK perlu memastikan bayaran berkenaan dibuat segera kerana pekerja yang diberi VSS itu tiada mata pencarian lain.
Utusan adalah sebahagian daripada NUJ, termasuk syarikat penerbitan Berita Harian Sdn Bhd, Harian Metro dan Utusan Karya, New Straits Times Press, The Sun Media Corporation, STAR Publications, Nanyang Siang Pau, Sin Chew Jit Poh dan Kwong Wah Yit Poh.
Memo kakitangan bertarikh 10 Mei yang dilihat oleh The Malaysian Insight mendedahkan bahawa syarikat tersebut tidak dapat membayar gaji tepat pada masanya kerana “keadaan kritikal aliran tunainya.”
Penerbit akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo itu terpaksa menangguhkan bayaran gaji bagi bulan April.
Utusan juga dilihat akan lewat membayar setengah gaji bulanan untuk bulan Mei.
“Syarikat memahami bahawa kelewatan pembayaran akan mengganggu aktiviti seharian kakitangan terutamanya di waktu menjelangnya Hari Raya tidak lama lagi,” kata Pengurus Sumber Manusia, Mohd Nazlan Othman.
Syarikat yang menghadapi kerugian besar itu kini sedang melaksanakan proses kawalan kewangannya. – 12 Mei, 2019.
Komen