Kerajaan Pulau Pinang gesa tingkatkan keselamatan di sekolah tahfiz 


Looi Sue-Chern

KERAJAAN negeri Pulau Pinang menggesa pengendali sekolah tahfiz tempatan untuk tampil dan mendaftarkan institusi mereka dan mendapatkan bantuan daripada pentadbiran bagi memastikan premis terbabit menepati piawaian keselamatan. 

Terdapat hampir 70 sekolah tahfiz di Pulau Pinang di mana 47 daripadanya berdaftar dan 20 lagi tidak berdaftar, kata exco hal ehwal agama negeri Abdul Malik Abul Kassim. 

Menurutnya, semua sekolah tahfiz seperti sekolah agama lain, perlu berdaftar dengan Majlis Agama Islam Pulau Pinang, sebagaimana yang termaktub di bawah Enakmen Pertadbiran Agama Islam (Pulau Pinang) 2004. 

Abdul Malik berkata kerajaan negeri tidak akan membenarkan mana-mana pengendali sekolah terlepas sekiranya didapati mengabaikan keselamatan kanak-kanak. 

“Kerajaan negeri akan memantau sekolah tahfiz dengan lebih dekat bagi memastikan mereka mencapai standard keselamatan yang diperlukan. 

“Tindakan terhadap sekolah tahfiz yang mengabaikan keselamatan pelajar akan diambil dari semasa ke semasa. Kita tidak akan berkompromi dengan pengabaian ini,” katanya selepas mesyuarat mingguan exco di Komtar hari ini. 

Malik berkata, pihaknya mengatur pertemuan dengan beberapa pihak berkenaan hari ini bagi membincangkan berhubung perkara itu dan mencadangkan cara untuk meningkatkan tahap keselamatan sekolah tahfiz.

“Lebih banyak lagi pertemuan dan program akan dilaksanakan, yang mana ia untuk membantu pihak berkuasa mengenal pasti sekolah tahfiz yang gagal mematuhi standard keselamatan, untuk hadir. 

“Kerajaan negeri akan membantu dan berkongsi kepakaran, dengan bantuan pihak berkuasa lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan pengendali sekolah untuk meningkatkan tahap keselamatan di premis mereka,” katanya.

Sekolah tahfiz menjadi tumpuan sejak minggu lalu berikutan kebakaran di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Datuk Keramat Kuala Lumpur yang mengorbankan 23 nyawa dalam kejadian awal pagi Khamis lalu. 
 
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Noh Omar berkata sekolah terbabit beroperasi tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.

Berikutan tragedi itu, kerajaan Pulau Pinang berkata pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mana-mana sekolah tahfiz yang gagal mematuhi garis panduan keselamatan.

Timbalan Ketua Menteri I, Mohd Rashid Hasnon berkata pengendali sekolah tahfiz termasuk yang tidak berdaftar tidak perlu takut untuk tampil mendapatkan bantuan daripada kerajaan negeri. 

“Kita minta pemilik bangunan untuk hadir bermesyuarat kerana kita perlu menjalankan penilaian keselamatan di premis mereka. Tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana kerajaan negeri hanya ingin membantu.

“Banyak sekolah yang tidak berdaftar. Kebanyakannya menyewa unit kediaman untuk dijadikan sekolah tahfiz seperti yang dilakukan tadika. 

“Mereka tidak boleh lari daripada isu keselamatan di premis mereka sendiri. Setiap orang perlu mengikut Perundingan Bangunan Seragam,” katanya. – 20 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen