INDIA hari ini mengesahkan sekurang-kurangnya 300 yak atau lembu bertanduk panjang dan berbulu tebal mati kelaparan di Lembah Himalaya akibat musim sejuk yang teruk.
Pegawai di negeri timur laut Sikkim berkata, mereka menerima panggilan kecemasan pertama daripada kira-kira 50 orang yang terputus hubungan di Lembah Mukuthang pada Disember.
Berikutan salji yang kuat, penduduk meminta bantuan makanan kepada kira-kira 1,500 yak, sumber susu tempatan, produk susu, pengangkutan dan bulu biri.
Pegawai tempatan Raj Kumar Yadav berkata, pihaknya membuat beberapa percubaan untuk mendapatkan mereka tetapi tidak ada jalan atau pengangkutan udara yang boleh sampai ke sana berikutan keadaan cuaca.
“Ketika sampai, sekurang-kurangnya 300 yak sudah mati.
“Keluarga tempatan mengatakan 500 yak sudah mati kelaparan. Sekitar 50 ekor juga sedang mendapat perhatian perubatan segera,” katanya.
Yak merupakan salah satu daripada sumber ekonomi yang bergantung kepada sektor pelancongan di rantau ini.
Beberapa yak mati kerana cuaca melampau di rantau ini setiap tahun.
Yadav berkata, cuaca terlalu sejuk, musim salji yang kuat pada Disember sehingga rumput tidak tumbuh menyebabkan haiwan itu mati kesejukan dan kelaparan.
Pihak berkuasa menguburkan kesemua haiwan yang mati itu dan membantu keluarga yang tinggal di lembah sekitar 70 kilometer dari Gangtok. – AFP, 9 Mei, 2019
Komen