SETIAUSAHA Agung PBB Antonio Guterres melancarkan lawatan singkat di selatan Pasifik di New Zealand pada hari Ahad, memberi amaran bahawa dunia “masih ketinggalan” untuk mengehadkan peningkatan suhu global.
Dalam mesej beliau yang menggesa semua pihak bertindak berhubung perubahan iklim, Guterres berkata, keputusan politik antarabangsa semakin pudar dan negara-negara pulau kecil yang “benar-benar berada di barisan hadapan” dan akan paling menderita.
Lawatan beliau itu sempena menjelangnya Sidang Kemuncak Tindakan Iklim pada bulan September di New York turut membawanya ke Fiji, Tuvalu dan Vanuatu yang kini diancam dengan peningkatan paras laut.
“Kami melihat di mana-mana demonstrasi yang jelas bahawa kita tidak berada dalam landasan untuk mencapai matlamat yang ditakrifkan dalam perjanjian Paris,” kata Guterres mengenai kegagalan untuk menghadkan kenaikan kepada 1.5 darjah Celsius (2.7 darjah Fahrenheit) di atas tahap revolusi pra-perindustrian.
“Dan paradoksnya adalah, ketika keadaan menjadi semakin buruk di lapangan, gerakan politik pula kelihatan pudar,” katanya dalam sidang akhbar bersama di Auckland dengan Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern.
Walau bagaimanapun, beliau mengeluarkan New Zealand daripada tuduhannya, si samping menggambarkan kepimpinan Wellington sebagai “sangat penting” selepas ia memperkenalkan undang-undang untuk menjadi negara neutral karbon menjelang tahun 2050, walaupun pelepasan gas rumah hijau daripada sektor pertanian yang penting dari sudut ekonomi tidak perlu memenuhi komitmen tersebut.
Ardern menyifatkan perubahan iklim sebagai “cabaran terbesar” yang dihadapi masyarakat antarabangsa dan mengatakan ia akan membawa “kerugian besar” jika terus mengelak daripada menyelesaikan isu itu.
Semasa tiga hari di New Zealand, Guterres juga dijadualkan akan bertemu dengan pemimpin Islam di Christchurch bagi menunjukkan solidariti berikutan pembunuhan ganas 15 Mac di mana 51 orang dibunuh oleh seorang lelaki bersenjata yang menyerang dua masjid semasa solat Jumaat. – AFP, 12 Mei, 2019.
Komen