Pesawat Myanmar terpaksa membuat pendaratan cemas


Pesawat Myanmar terpaksa membuat pendaratan cemas selepas pesawat berdepan masalah teknikal dalam kejadian pagi tadi. – Gambar AFP, 11 Mei, 2019.

SEBUAH pesawat Myanmar terpaksa membuat pendaratan cemas selepas pesawat berdepan masalah teknikal dalam kejadian pagi tadi, kata seorang pegawai.

Bagaimanapun tiada penumpang dilaporkan cedera dalam pendaratan cemas berkenaan.

Penerbangan Myanmar Airlines UB-103 model Embraer-190 berlepas sekitar jam 9 pagi di Mandalay, sebuah bandar terkenal dalam kalangan pelancong asing.

Pesawat membawa 89 orang termasuk tujuh anak kapal.

Timbalan Ketua Jabatan Penerbangan Awam Myanmar Ye Htut Aung memberitahu AFP, juruterbang itu cuba berulang kali menurunkan gear pendaratan, pertama melalui sistem komputernya, kemudian secara manual.

“Mereka cuba sebanyak dua kali dan diminta untuk memeriksa sama ada roda jatuh atau tidak.

“Mereka akhirnya terpaksa mendarat dengan roda belakang. Juruterbang membuat pendaratan dengan mudah. Tiada yang cedera dilaporkan,” katanya.

Ye Htut berkata, Myanmar National Airlines kini menghantar jurutera ke Mandalay bagi memeriksa pesawat berkenaan.

“Kesemua pesawat sudah pun dibuat pemeriksaan harian,” katanya.

Penumpang Soe Moe berkata, asap keluar sedikit ketika pesawat mendarat.

“Kesemua penumpang dalam keadaan baik,” katanya kepada AFP.

Insiden berlaku beberapa hari selepas pesawat Biman Bangladesh Airlines tergelincir ketika mendarat dalam cuaca buruk di Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon.

Kejadian itu menyebabkan 17 penumpang cedera ringan dan dirawat di hospital berhampiran.

Musim tengkujuh Myanmar mendatangkan beberapa masalah kepada penerbangan komersial dan ketenteraan sejak dahulu.

Pada 2017, pesawat tentera terhempas ke Laut Andaman menyebabkan 122 penumpang maut.

Ia merupakan kemalangan udara paling dahsyat dalam sejarah negara disebabkan cuaca buruk.

Pada 2015, sebuah pesawat penumpang Air Bagan melencong dari landasan akibat cuaca buruk dan hujan lebat. – 12 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen