KETUA Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman hari ini mengingatkan bekas naib presiden parti itu Hamidah Osman yang meletakkan jawatan daripada parti itu minggu lalu agar tidak lupa siapa “musuh sebenar” yang membawa kepada penyertaannya ke dalam Bersatu.
Dalam mas ayang sama beliau turut berterima kasih kepada Hamidah kerana sumbangannya terhadap parti dan mengingatkannya agar terus berjuang menentang rasuah.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Hamidah kerana sumbangannya terutamanya ketika parti ini mula ditubuhkan. Saya jelas mempunyai perselisihan dan tidak sependapat dengannya, sama juga bagaimana dia tidak sependapat dan berselisihan dengan saya.
“Bagaimanapun ia tidak bermakna saya tidak hargai sumbangannya sebelum ini dan saya mengharapkan yang terbaik untuknya di masa hadapan. Saya cuma berharap dia tidak lupa apa yang menyebabkannya menentang Najib dan kerajaan korup Umno/Barisan Nasional, dan walau apa laluan yang dia pilih, jangan lupakan musuh utama,” katanya merujuk kepada Perdana Menteri Najib Razak.
Peletakan jawatan Hamidah pada Sabtu dibuat selepas pertikaiannya dengan Syed Saddiq sejak beberapa bulan lalu, di mana Syed menuduh Hamidah sebagai ejen Umno dan menyalahkannya berhubung peletakan jawatan besar-besaran ahli parti itu di Perak awal tahun ini.
Hamidah bagaimanapun menafikan dirinya seorang ejen Umno dan berkata beliau meletakkan jawatan kerana “budaya” dan kurang disiplin dalam parti.
Syed Saddiq turut mencabarnya meletakkan jawatan beberapa bulan lalu, dan menggelarnya sebagai hipokrit dan memintanya meninggalkan parti sekiranya hanya mengejar jawatan tinggi.
Ia merupakan keputusan muktamad, kata Hamidah yang meletakkan jawatan sebagai naib presiden dan ketua bahagian Gopeng dan ahli parti pada 16 September.
Hamidah berkata, beliau mendapati pimpinan parti enggan mengambil tindakan terhadap Syed Saddiq dan merasakan parti mengecamnya kerana kekejaman terhadapnya.
“Ramai yang mengatakan Syed Saddiq tidak berani untuk melakukan perkara itu dan dia tidak mendapat restu daripada pimpinan,” katanya dan menambah banyak isu lain yang tidak diuruskan dengan baik oleh parti itu.
“Saya tidak rasa saya boleh meneruskan perjuangan dengan Dr Mahathir dan sebagaimana yang saya katakan awal tadi, jika saya mahu lakukan sesuatu, saya akan lakukan sepenuh hati tapi hari ini, saya sudah hilang minat dengan melihatkan situasi yang saya rasa tidak terkawal, dan pada saya sama ada teruskan atau tinggalkan,” katanya. – 20 September, 2017.
Komen