ISRAEL kembali membuka semula laluan sempadannya di Gaza pada hari Ahad selepas menutupnya sejak peningkatan ketegangan antara kedua-dua pihak awal bulan ini, kata seorang pegawai.
Laluan Erez yang digunakan orang awam dan Kerem Shalom bagi laluan barangan dibuka semula dan beroperasi, kata jurucakap COGAT - unit kementerian pertahanan Israel yang mengawasi kawasan laluan yang menghubungkan Gaza dan Israel- dalam satu kenyataan.
Kedua-duanya sebelum ini ditutup pada 4 Mei, apabila pemerintah Gaza Hamas dan sekutunya Jihad Islam melepaskan ratusan roket ke arah Israel, dan pihak tentera Israel bertindak balas dengan menyasarkan beberapa kawasan di Gaza.
Empat orang awam Israel dan 25 orang warga Palestin, termasuk sekurang-kurangnya sembilan pejuang, terbunuh dalam pertikaian selama dua hari itu, yang berakhir pada hari Isnin selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk gencatan senjata.
Pihak berkuasa Palestin berkata Israel bersetuju untuk mengurangkan sekatan yang sudah lama dilaksanakan terhadap kawasan miskin itu bagi mengembalikan keamanan.
Israel tidak mengesahkan perjanjian tersebut secara terbuka, namun pada hari Jumaat membatalkan larangan yang dikenakan terhadap kapal nelayan Palestin yang beroperasi di luar Gaza.
Israel mengatakan sekatannya adalah perlu untuk mengasingkan pemerintah Islamis di Gaza, iaitu Hamas, pihak yang menjadi musuh dalam tiga peperangan sejak 2008.
Tetapi pengkritik mengatakan ia adalah hukuman terhadap dua juta penduduk Gaza. – 12 Mei, 2019.
Komen