Polis Cuba surai himpunan haram LGBT


Himpunan yang dilakukan kerajaan itu sudah masuk tahun ke-10, tetapi dibatalkan tahun ini atas sebab tidak jelas. – Gambar AFP, 12 Mei, 2019.

POLIS Cuba semalam menyuraikan himpunan pro hak LGBT yang tidak dapat kelulusan di Havana.

Himpunan itu diadakan selepas perhimpunan dibenarkan kerajaan dibatalkan awal minggu ini.

Melaungkan “Yes we can!”, peserta himpunan juga mengibarkan bendera pelangi dan membawa sepanduk, berjaya berarak sejauh 400meter di Paseo del Prado, Havana sebelum disuraikan polis.

Sejumlah 100 orang aktivis LGBT membantah pembatalan perhimpunan menentang homofobia dianjurkan Pusat Pendidikan Seksual Nasional (Cenesex), agensi di bawah Kementerian Kesihatan yang sudah masuk tahun ke-10 penganjuran.

Perhimpunan penuh meriah itu- juga dikenali sebagai “conga”- digunakan untuk mendidik rakyat tentang homofobia dan transfobia yang berlaku.

Sekurang-kurangnya tiga peserta enggan mematuhi arahan bersurai dan diarah meninggalkan kawasan perhimpunan ditahan, kata wartawan AFP.

Buat pertama kali dalam sejarah Cuba yang dikawal ketat pentadbiran kerajaan, perhimpunan itu terhasil daripada gerakan di media sosial.

Cenesex diterajui Mariela Castro, anak bekas presiden Raul Castro yang pada usia 87 tahun masih lagi setiausaha agung Parti Komunis, pemerintah negara itu.

Awal minggu ini, Cenesex mengumumkan perhimpunan itu dibatalkan kerana “ketegangan baharu di peringkat dalam dan luar negara.” Pihak berkuasa menggesa rakyat menghormati keputusan itu. – AFP, 12 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen