Bekas wartawan wanita Afghanistan mati ditembak


Mena Mangal yang meninggalkan dunia kewartawanan untuk menjadi penasihat kebudayan kepada Parlimen ditembak dan dibunuh di Kabul pada Sabtu. – Gambar Facebook, 12 Mei, 2019.

SEORANG bekas wartawan yang bekerja untuk Parlimen Afghanistan ditembak dan dibunuh di Kabul pada Sabtu, kata seorang pegawai, dalam serangan terbaru yang menggegarkan negara itu.

Mena Mangal terkenal di kalangan penduduk Kabul kerana programnya di beberapa rangkaian televisyen, sebelum beliau meninggalkan dunia kewartawanan untuk menjadi penasihat kebudayaan kepada Parlimen.

Menurut jurucakap Kementerian Dalam Negeri Nasrat Rahimi, Mangal ditembak di timur Kabul pada waktu siang.

Siasatan sedang dijalankan, tetapi beliau tidak memberikan butiran lanjut.

Tiada siapa mengaku bertanggungjawab berhubung kematian Mangal, dan tidak diketahui mengapa beliau menjadi sasaran.

Kadarjenayah di Kabul semakin bertambah buruk beberapa tahun kebelakangan ini, menambah tekanan kepada penduduk di bandar yang sering berdepan serangan pengganas.

Aktivis hak wanita terkenal Wazhma Frogh berkata Mangal baru-baru ini menulis di media sosial bahawa beliau berasa nyawanya terancam.

Nasib wanita di Afghanistan menjadi fokus beberapa bulan kebelakangan ini, kerana ramai di negara dilanda perang itu bimbang hak wanita yang sukar diperoleh akan hilang jika Amerika Syarikat membuat perjanjian damai dengan Taliban.

Walaupun terdapat kemajuan sejak penyingkiran Taliban pada 2001, wanita di Afghanistan masih sering dipinggirkan.

Afghanistan juga merupakan tempat paling mengancam nyawa dalam dunia bagi wartawan, yang berdepan banyak risiko ketika membuat liputan konflik dan yang kadang-kala menjadi sasaran kerana melakukan tugas mereka. – AFP, 12 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen