Bapa sanggup jual anak untuk dibunuh


Golongan albino termasuk kanak-kanak sering diculik dan bahagian tubuh mereka diambil untuk digunakan sebagai tangkal dan ramuan ajaib dengan kepercayaan ia akan membawa kekayaan dan nasib baik. – Gambar EPA, 12 Mei, 2019.

SEORANG lelaki Tanzania ditangkap kerana menjual anak perempuannya berusia enam tahun untuk dibunuh agar anggota tubuhnya boleh digunakan dalam posyen atau ubat jampi untuk menjadikannya kaya, kata polis pada Sabtu.

Kenyataan polis mengatakan kanak-kanak itu, Rose Japhet, dibunuh minggu lalu dan mayatnya ditemui di daerah barat daya Mbeya, di rantau berlakunya pembunuhan beramai-ramai kanak-kanak bagi tujuan ritual.

“Mayat ditemui dengan kepala dipenggal dan kaki kanan dipotong,” kata kenyataan itu, sambil menambah kaki itu ditemui ditanam berdekatan.

“Motif pembunuhan ini adalah mengenai kewangan. Bapa si mati membawa anak perempuannya kepada seorang ahli perniagaan untuk dijual sebanyak lima juta syiling ($2,000) untuk dibunuh dan kaki kanannya dipotong.”

“Kaki itu bertujuan untuk diberikan kepada dukun untuk dibuat ramuan yang boleh menjadikan beliau (bapa) kaya,” kata kenyataan itu.

Ahli perniagaan itu turut ditahan dan mengakui penglibatannya sementara polis masih memburu dukun.

Mbeya terletak berhampiran wilayah Njombe, di mana sekurang-kurangnya 10 kanak-kanak berusia antara dua dan 10 tahun ditemui mati pada Januari yang dilaporkan media tempatan merupakan upacara pembunuhan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengutuk pembunuhan itu.

Pembunuhan seperti ini bukan sesuatu yang luar biasa di Tanzania, di mana mereka yang mempunyai albino sering diculik dan bahagian tubuh mereka diambil untuk digunakan sebagai tangkal dan ramuan ajaib dengan kepercayaan ia akan membawa kekayaan dan nasib baik. – AFP, 12 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen