Kubur besar dengan 35 mayat ditemui di Mexico


Pihak berkuasa menemui 35 mayat di sebuah kubur besar di Jalisco, Mexico dan jumlah dijangka meningkat selepas pihak forensik selesai membuat siasatan. – Gambar AFP, 12 Mei, 2019.

PIHAK berkuasa tempatan menemui 35 mayat di sebuah kubur besar di Jalisco, Mexico, menurut kenyataan rasmi pada Sabtu.

Pendakwa raya Gerardo Octavio Solis berkata kebanyakan mayat ditemui di sebuah ladang di bandar Zapopan.

“27 mayat diikat ketika dibunuh dan kami sudah mengenal pasti dua mayat setakat ini,” kata Solis dalam sidang akhbar.

Jumlah mayat mungkin meningkat apabila pasukan forensik selesai membuat siasatan di tapak itu, katanya memberi amaran.

“Kami menggali lebih tiga meter dalam. Kami juga menggunakan jentera berat, dengan jurutera melakukan pengiraan struktur kerana tidak mahu menjejaskankan beberapa dinding perimeter,” katanya.

Solis berkata tengkorak tujuh individu dan mayat manusia lain ditemui disebuah rumah yang terletak di Guadalajara, bandar kedua terpadat di Mexico.

Ahli keluarga yang hilang bergegas menemui pihak berkuasa di Jalisco meminta butiran mengenai penemuan itu.

Lebih 40,000 orang hilang dan dianggap mati sejak Mexico memerangi dadah dengan mengerahkan tentera persekutuan pada akhir 2006.

Lebih 250,000 orang terbunuh dalam jenayah kekerasan di Mexico sejak itu, menurut data kerajaan. Data tidak mengatakan berapa banyak kes yang dikaitkan dengan jenayah terancang.

Tahun lepas di Jalisco sahaja berlaku 2,418 pembunuhan.

Berdasarkan data rasmi, sejak Januari hingga Mac berlaku 720 pembunuhan di negeri ini. – AFP, 12 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen