13 Mei 1969 mempunyai banyak cerita versi senyap. Malah, seperti cerita rakyat, selama 50 tahun, kisah-kisah kemegahan kaum dari perspektif tragedi berdarah itu terus disebarkan.
Dalam mitos Melayu moden, terutama dalam kalangan ultra, tragedi 13 Mei terus disebarkan sebagai peristiwa jihad demi agama dan bangsa.
Mitos 13 Mei yang dicatatkan di Wikipedia turut menerapkan elemen sensasi. Sekiranya dibaca dalam nahu perkauman, akan mencetuskan sentimen. Walaupun faktanya berasas, tapi naratifnya tetap prejudis.
Itulah impak dan trauma psikologi kesan Peristiwa 13 Mei. Walaupun punca rusuhan dan angka kematian yang disiarkan itu fakta, ia tetap mengocakkan semangat perkauman.
Fakta walaupun pedih dan menyakitkan, mestilah diterima. Namun, setakat bercakap tidak semudah menerima hakikat.
Saya ingin menyentuh mitos 13 Mei 1969. Ketika kejadian, saya berusia dua tahun dan tinggal di Alor Setar, Kedah. Antara zon bebas pertempuran kaum.
Namun, ayah saya, atas pengaruh seruan jihad telah berbaiah pada ketika menyemarak khabar 13 Mei 1969.
Itu era bermula gerakan baiah persaudaraan Islam dengan falsasah Alif Ba Ta. Satu gerakan yang meluas dan dianggap rahsia terbuka.
Ayah saya melalui proses baiah secara tertutup dalam masjid pada 14 Mei. Ketika itu, anak-anak muda Melayu di Kedah berkumpul di Sik untuk menggerakkan jihad 13 Mei.
Hampir 500 pemuda berjaya menyusup menuju ke Sik, ketika polis dan tentera sudah mengadakan sekatan jalan raya. Majlis itu tetap dihadiri ramai kerana dikelirukan seruan jihad.
Selepas solat Zohor diadakan sesi bacaan Yassin dan pemuda yang berbaiah diberi minum airnya. Setiap orang membawa perang dan golok. Siri baiah berlangsung hingga solat Maghrib. Serangan dijangka dilakukan ketika tengah malam.
Senjata warisan 13 Mei
Malah, golok dalam baiah itu kini antara simbol kemegahan keluarga. Mana-mana keluarga yang memiliki senjata yang pernah digunakan dalam Peristiwa 13 Mei, akan menyimpannya dalam balutan kain kuning. Sekaligus menjadi warisan keluarga. Senjata ini diperturunkan kepada anak cucu.
Ingat! Ini tradisi ribuan keluarga Melayu hingga kini. Senjata warisan 13 Mei masih dianggap pusaka maruah keluarga. Dalam bahasa lain, pewarisnya bertanggung jawab menggunakan senjata itu apabila seruan jihad bergema lagi.
Jangan abaikan hakikat ini. Bahawa, mitos jihad 13 Mei kini diwarisi puluhan ribu anak Melayu dengan simbol pelbagai senjata pusaka warisan keluarga.
Ia bukan pusaka biasa. Ia pusaka Alif Ba Ta. Bahawa, pemegangnya mesti sanggup berjihad demi agama (Alif), bangsa (Ba) dan tanahair (Ta).
Dalam konteks sumpah baiah ini, terutama Melayu Islam yang terlibat dalam baiah 13 Mei 1969 – semangat jihad ini berkembang selama 50 tahun hingga sekarang. Mitosnya ialah jihad membela Islam dan Melayu.
Mitos ini disebarkan secara meluas. Nama Allah dan Islam dijadikan teras mitos jihad ini walaupun matlamat sebenarnya ialah kebencian perkauman.
Bahagian Cawangan Khas (SB) tahu puluhan ribu orang Melayu Islam masih berpegang pada semangat Alif Ba Ta. Walaupun 13 Mei 1969 berakhir, namun baiah jihad ini kekal. Malah, berkembang meluas.
Kod Merah
Walaupun gerakan baiah ini kerap memperlihatkan ancaman perkauman, ia sengaja dibiarkan. Tidak ada sebarang tindakan terutama diradikalisasi untuk menangani kumpulan ultra kaum dan agama ini.
Kerajaan percaya: melancarkan Rukun Negara telah menyelesaikan semua bahang pertumpahan darah 13 Mei 1969. Malah, sangat percaya – Rukun Negara sudah memadamkan semua isu perkauman.
SB pun tahu wujudnya simbol “isyarat merah” yang masih diamalkan hingga sekarang. Kod ini bersikap perkauman. Malah, membawa isyarat berbahaya.
Artikel ini cuba melihat semula realiti 50 tahun selepas Peristiwa 13 Mei. Bahawa, mitos perkauman masih hidup. Malah, ideologi baiah sisa mitos 13 Mei kini umpama bom jangka yang berbahaya.
Apatah lagi sekarang, ketika persekitaran hubungan agama dan kaum pada era Malaysia Baharu, sedang tegang dan amat berbahang.
Ayah saya meninggal pada Ogos 2004. Sejam sebelum menghembus nafas akhir, dia menelefon saya – merayu dengan penuh rasa sedih. Ayah mahu saya berbaiah dan menyertai gerakan ini. Pada ayah saya, selepas 13 Mei, baiah ini telah menjadi darah daging seluruh keturunan kami.
Ia bukan kali pertama. Tiap kali menziarahi saya, sejak 30 tahun lalu, ayah akan memujuk dan memujuk.
“Pergilah sembelih (istilah baiah). Ini perjuangan darah daging keluarga kita,” kata ayah.
Saya tersenyum dan menjawab: “Tak mungkin, ayah. Saya takkan baiah. Saya wartawan. Mustahil saya berbaiah.”
Mendengarkan jawapan itu, ayah sangat bersedih. Ayah saya generasi baiah pertama ketika berlakunya Peristiwa 13 Mei. Waktu ribuan anak muda Kedah bersiap-siaga menyerbu Pulau Pinang untuk membalas dendam terhadap kejadian di Kuala Lumpur.
Kumpulan ini cuba menyusup ke Bukit Mertajam dan Butterworth, tetapi gagal kerana polis sudah menutup semua laluan.
Namun, ada versi tidak rasmi menyebut, berlaku juga pertempuran di Bukit Mertajam dan ayah saya terlibat. Namun, kami tidak pernah membincangkannya.
Isu kaum dan agama kini kembali genting. Secara psikologi, orang Melayu marhaen masih mendokong semangat perkauman yang teruk apabila menyentuh isu Melayu dan Islam, serta dengan bangga akan merujuk pada 13 Mei 1969.
Tragedi Kampung Medan pada Mac 2001 dan krisis Plaza Low Yat pada 11 Julai 2015, antara gambaran nyata. Betapa mudah konsep baiah dan kod merah ini mudah menyeret orang Melayu ke kancah perkauman.
Artikel ini cuba berkongsi apa yang tersembunyi dalam tipa induk minda Melayu Islam. Ia wujud 50 tahun lalu dan terus berkembang secara senyap. Namun, semua ini berlaku dan menjadi rahsia terbuka.
Sedihnya, dalam keadaan sekarang, sekalipun 13 Mei sudah 50 tahun berlalu, sentimen anti kaum dan kod seruan jihad ini masih diamalkan. Ia bukan rahsia. Malah, SB tahu tahap bahayanya. – 12 Mei, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen