SERAMAI 60 pendatang yang kebanyakan mereka datang dari Bangladesh lemas apabila bot dinaiki mereka terbalik di Laut Mediterranean ketika dalam perjalanan dari Libya ke Itali, kata Tunisian Red Crescent hari ini.
Mangsa yang terselamat berkata, kejadian berlaku selepas kira-kira 75 orang meninggalkan Zuwara di pantai barat laut Libya Khamis lalu.
Dari bot besar mereka dipindahkan ke bot lebih kecil menyebabkan ia tenggelam di Tunisia.
Pegawai Tunisian Red Crescent di bandar Zarziz selatan Tunisia Mongi Slim berkata, pendatang itu dipindahkan ke sebuah bot yang lebih kecil dan terlebih muatan sebelum tenggelam 10 minit kemudian.
Nelayan Tunisia menyelamatkan 16 orang mangsa dan membawa mereka ke pantai di Zarzis.
Mangsa yang terselamat berkata, mereka menghabiskan lapan jam terperangkap di laut sejuk sebelum ditemui oleh nelayan yang memaklumkan kepada pegawai pantai Tunisia.
Tiga mayat dikeluarkan dari perairan semalam, kata Kementerian Pertahanan Tunisia.
Mangsa terselamat berkata, bot itu dalam perjalanan ke Itali dan membawa 51 lelaki warga Bangladesh, tiga warga Mesir, beberapa orang Maghribi, orang Chadia dan beberapa rakyat Afrika.
Seramai 14 warga Bangladesh antara yang terselamat.
Slim berkata, sekiranya nelayan Tunisia tidak melihat mereka, pasti tidak ada yang terselamat dan pihaknya juga tidak mengetahui tentang bot yang tenggelam.
Menteri Dalam Negeri Itali Matteo Salvini telah mengenakan dasar pelabuhan tertutup dan enggan membenarkan pendatang diselamatkan di laut untuk memasuki negaranya.
Semalam, lebih 60 pendatang tiba di Itali selepas dua bot meninggalkan Libya berdepan kesulitan di laut dan memerlukan bantuan.
Agensi PBB untuk pelarian UNHCR meminta operasi mencari dan menyelamat lebih tinggi dijalankan bagi mengelak kejadian berulang di masa akan datang.
Utusan khusus agensi Mediterranean Vincent Cochetel berkata, di seluruh rantau ini pihaknya perlu mengukuhkan keupayaan operasi mencari dan menyelamat.
“Jika kita tidak bertindak sekarang, kita pasti akan melihat lebih banyak peristiwa tragis dalam beberapa minggu dan bulan akan datang,” katanya. – AFP, 11 Mei, 2019.
Komen