Sekolah tidak mengajar rakyat berfikir, kata Daim


Noor Azam Shairi

Penerapan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi dalam pembelajaran dikritik pada peringkat awal kerana kurang bersedia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mei, 2019.

SISTEM pendidikan Malaysia tidak mengajar rakyat menggunakan daya berfikir yang betul dan logik sehingga lahir kelompok yang mudah ditipu dan diperalatkan dengan emosi dan sentimen, kata Daim Zainuddin.

Daim menarik perhatian bagaimana lemah daya berfikir antara sebab sebahagian rakyat terpedaya sementara ahli politik terus sewenang-wenangnya membakar emosi mereka dengan sentimen kaum dan agama.

Bekas penasihat kerajaan itu menjelaskan hanya dengan daya fikir yang betul rakyat boleh memecahkan masalah yang ada, tetapi kemahiran itu tidak mereka dapat dari sekolah.

“Sistem pendidikan kita mesti berubah, kita mesti mendidik rakyat untuk mampu berfikir dengan betul dan logik, dan boleh menyelesaikan masalah.

“Setakat ini, kita gagal,” katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight, baru-baru ini.

Daim juga membuat pemerhatian sistem pendidikan tidak melahirkan insan yang boleh berkomunikasi dengan baik sehingga mereka sulit masuk ke pasaran kerja.

“Ini menyebabkan kadar pengangguran yang tinggi, dan mereka salahkan kerajaan. Puncanya, sistem pendidikan kita gagal,” katanya.

Sejak 2013, sistem pembelajaran di sekolah mula menerapkan kemahiran berfikir di bawah pelan pembangunan pendidikan sehingga 2025, yang dilaksanakan semasa Muhyiddin Yassin menjadi menteri pendidikan.

Penerapan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam pembelajaran itu bagaimanapun dikritik pada peringkat awal kerana guru kurang bersedia.

Ia juga terbantut kerana masyarakat umumnya masih melihat pencapaian peperiksaan sebagai kayu ukur kejayaan.

Pada November lalu, selepas lawatan ke Jepun, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengarahkan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik memulakan rombakan sistem pembelajaran di sekolah. 

Dr Mahathir memberi arahan itu selepas meneliti jadual persekolahan. Beliau hairan bagaimana waktu kelas yang panjang untuk mata pelajaran agama Islam dan moral tidak juga melahirkan insan jujur dan berintegriti.

“Kita perlu selesaikan masalah ini once and for all (dengan tuntas). Tidak ada lagi main politik dengan pendidikan,” kata Daim.

“Untuk sekian kalinya, kita perlu betulkan sistem pendidikan.”

Menurut Daim, Malaysia perlu belajar daripada sistem pendidikan yang ada di negara lain dan mengambil yang terbaik untuk diterapkan dalam sistem tempatan.

“Apabila kita yang terbaik, apa yang kita hendak takutkan? Ini yang mesti kita capai,” katanya.

Daim Zainuddin berkata Malaysia perlu belajar daripada sistem pendidikan negara lain dan mengambil yang terbaik untuk diterapkan dalam sistem tempatan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Mei, 2019.

Usaha ini penting agar Malaysia melahirkan generasi terbaik yang boleh bersaing juga dengan mereka yang terbaik di seluruh dunia, tambahnya.

Sementara itu, Daim berkata ibu bapa memainkan peranan penting menanam nilai yang betul pada anak mereka dan tidak menyerahkan pembinaan sahsiah anak seratus peratus kepada sistem pendidikan.

Daim menjelaskan nilai yang betul itu termasuklah integriti dan keyakinan diri, bahawa tidak semuanya perlu kerajaan sediakan untuk mereka.

“Ajar mereka apa yang baik dan buruk. Beritahu mereka rasuah itu buruk, kerja keras itu baik. Ajarkan sejak kecil. Tidak ada yang percuma dalam hidup,” katanya.

Daim percaya sekiranya nilai yang baik itu ada dalam masyarakat, semua orang boleh bersaing tanpa perlu bergantung pada kelebihan yang diberikan mengikut kaum.

Ditanya mengenai tanggapan reformasi pendidikan tidak berlaku atau berlaku dengan sangat perlahan dalam tempoh setahun kerajaan baharu, Daim berkata, setakat yang beliau tahu, Kementerian Pendidikan di bawah menteri Maszlee sedang melakukan perubahan itu.

Dalam tempoh setahun lalu, Maszlee banyak memberikan penekanan kepada soal nilai dan integriti. Dalam beberapa ucapannya termasuk amanat membuka tahun pendidikan 2019, Maszlee menegaskan hala tuju pendidikan Malaysia ialah pendidikan berteraskan nilai.

Beliau juga mahu semua warga pendidik serta pelajar mempunyai nilai kasih sayang, gembira dan hormat-menghormati kepada ilmu, kepada sekolah atau universiti serta kepada guru dan sesama pelajar. – 12 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen