Peniaga mengeluh, kos jual baju raya naik


Diyana Ibrahim

Kenaikan kos sara hidup menyebabkan rakyat Malaysia memilih membeli kelengkapan raya terutama di bazar Ramadan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mei, 2019.

PENIAGA pakaian dan kelengkapan sambutan hari raya menanggung kenaikan kos perniagaan untuk musim perayaan tahun ini, kesan nilai ringgit yang menyusut sejak kebelakangan.

Peniaga yang ditinjau The Malaysian Insight mendakwa mereka sebenarnya yang lebih terbeban berbanding pengguna dengan keadaan ekonomi tidak menentu yang menyebabkan kos berniaga meningkat.

“Kos saya naik 40% tahun ini berbanding tahun lepas, jadi agak sukar juga tahun ini,” kata Jorham Salleh yang menjual pakaian tradisional Melayu di Shah Alam.

Beliau yang berniaga sejak 18 tahun lalu menyalahkan kenaikan kos itu kepada kejatuhan nilai matawang ringgit.

“Macam tekstil biasanya kita import, jadi kosnya memang naik.

“Nilai ringgit yang jatuh juga menyebabkan kos pengeluaran meningkat kerana banyak tukang jahit dari Bangladesh dan Indonesia tidak lagi mahu bekerja di Malaysia,” katanya.

Menurut Jorham, beliau bertahan dalam kenaikan kos itu kerana berhutang modal daripada pembekal kain.

“Kita akan berhutang dulu, untung daripada hasil jualan baru bayar balik kepada pembekal, jadi sebab itu kita masih boleh bertahan,” katanya.

Seorang lagi peniaga yang menjual perhiasan rumah juga mengaku kos perniagaan kini meningkat kerana keadaan ekonomi semasa.

Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Azlina, 39, merasakan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang menggantikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) lebih membebankan peniaga.

“Kita tersepit dengan kenaikan kos, bila SST ini modal saya keluarkan lagi mahal, dan harga kita tak boleh naikkan terlalu tinggi kalau tidak orang tak nak beli.

“Mungkin kerana apa yang saya jual ini tidak lagi jadi keutamaan pengguna,” katanya yang berniaga di Shah Alam.

Sejak Julai lalu ringgit muncul mata wang keempat di rantau ini yang mencatat prestasi terburuk selepas baht, yuan dan rupee.

Dua bulan kemudian, Perdana Menter Dr Mahathir Mohamad berkata ringgit berada di bawah nilai sebenar disebabkan faktor ekonomi dunia tidak menentu. Ringgit juga menyusut kerana perang dagang Amerika Syarikat-China.

Selepas ringgit tidak juga pulih, bulan lepas Dr Mahathir tidak menolak kemungkinan kerajaan mengambil langkah melindungi ringgit jika terus diserang spekulator mata wang.

Semasa jadi perdana menteri ketika krisis ekonomi 1997, Dr Mahathir mengikat ringgit pada RM3.80 berbanding dolar Amerika bermula September 1998. Tambatan itu hanya dilepaskan pada Julai 2005.

Jualan macam biasa

Walaupun kos berniaga meningkat, Jorham yang mengaku tidak menaikkan harga jualan berkata setakat ini perniagaannya lancar, banyak terjual sejak seminggu sebelum umat Islam mula berpuasa Isnin lalu.

“Baju raya macam mana pun tak akan terjejas jualannya. Tahun ini jualannya akan sama dan mungkin meningkat dari tahun lepas.

“Orang tetap beli, sebab raya setahun sekali. Walau tidak ada duit sekali pun tapi setidak-tidaknya untuk anak-anak, ibu bapa akan beli juga baju..

“Biasanya pengguna ini mereka dah simpan awal- awal peruntukan untuk raya.” katanya.

Seorang lagi peniaga baju tradisional, Sarimah Abdullah, 49, berkata banyak mengeluarkan koleksi baju raya lebih murah dan berpatutan supaya pengguna tetap dapat membeli.

“Untuk baju raya, tidak ada istilah ekonomi jatuh orang tidak membeli. Paling kurang pun mereka akan berjimat, beli sepasang saja.

“Selalunya setiap keluarga nak baju raya warna sama, itu pun sebab kenapa perniagaan baju raya ini sentiasa laris, “ katanya.

Jimat di bazar Ramadhan

Sementara itu, pengguna Rahmat Ariff, 47, berkata kenaikan kos sara hidup menyebabkan dia memilih membeli kelengkapan raya terutama di bazar Ramadan

“Memang sekarang perbelanjaan tinggi, tapi kita tetap kena beli baju raya untuk keluarga, warna baju kena sedondon, jadi kita pilih beli di bazar. Harga lebih murah, dan kadang kita boleh tawar harga,” katanya.

Penjawat awam itu berkata beliau bagaimanapun mengurangkan peruntukan untuk belanja persiapan hari raya Aidilfitri dari RM3,000 kepada RM2,500 untuk tahun ini.

Anisah Salleh, 39, pula berkata beliau sudah membuat persiapan jauh lebih awal dengan menabung.

“Saya peruntukkan RM2,000 ini untuk semua sekali – beli baju anak dan belanja balik kampung. Setiap tahun pun kita dah ketepikan duit, tak lebih tak kurang,” kata pembantu kedai itu, yang juga memilih berbelanja di bazar.

Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan, Mohamad Abdullah mengakui bazar Ramadan memberi pilihan tempat berbelanja bukan saja bagi golongan berpendapatan rendah tetapi kerana tawarannya lebih murah.

“Memang sudah jadi tradisi umat Islam di negara ini beli kelengkapan raya di bazar, kerana harga murah.

“Itu sebab setiap tahun permintaan tapak bazar sentiasa meningkat. Ini pun tempat rakyat cari duit juga.” katanya.  – 12 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen