KERAJAAN harus mewartakan tanah perkuburan 13 Mei 1969 di Sungai Buloh sebagai tapak warisan budaya kebangsaan agar generasi akan datang dapat belajar dari kesilapan lalu negara.
Jurucakap jawatankuasa 513 Tang Ah Chai menggesa kerajaan membentangkan penemuan kejadian yang masih di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
“Jadikan kawasan ini tapak warisan agar generasi muda dapat belajar tentang sejarah dan mengingatinya.
“Berapa ramai mangsa yang terlibat masih menjadi misteri. Kerajaan kata ratusan tetapi ramai percaya ia lebih tinggi daripada itu,” katanya.
Menurutnya, selepas 50 tahun pihaknya mahu membongkar kebenaran dan menutup ketakutan yang berlarutan di antara masyarakat.
“Kita perlukan kajian yang teliti dan untuk mengkaji kes, kita perlukan fakta di bawah OSA.
“Tak banyak yang kami dapat dan kami berharap kerajaan dapat mengeluarkan maklumat berkaitan untuk dikaji,” katanya ketika ditemui pada majlis memperingati mangsa 13 Mei di Sungai Buloh, pagi tadi.
Tapak perkuburan seluas dua gelanggang badminton itu menempatkan 114 kubur - seorang India, dua Melayu dan 111 Cina (termasuk yang tidak dapat dikenal pasti). Mereka disemadikan dengan ihsan kerajaan Malaysia.
Sementera itu Adun Selangor Teng Chang Kim yang turut hadir pada majlis itu berkata, kerajaan berhutang penjelasan kepada mangsa.
“Sehingga hari ini, kita tidak tahu berapa ramai terbunuh. Kita hanya tahu mereka dikebumikan di sini. Kerajaan perlu menjelaskan kepada ahli keluarga apa yang berlaku,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan baharu mesti membawa kemajuan yang bermakna untuk masa depan negara.
“Walaupun kita boleh memaafkan mereka yang bertanggjawab atas insiden yang berlaku, tetapi kita tidak boleh memanipulasi sejarah.
“Kita ada kerajaan baharu tetapi ia tidak mencukupi. Kita mesti mendedahkan sejarah, ini akan membawa kemajuan bermakna kepada kita sebagai sebuah negara,” katanya.
Laporan rasmi mengatakan jumlah kematian kejadian rusuhan itu adalah 196 orang.
Bagaimanapun sumber diplomatik barat menganggarkan jumlah menjangkau 600 orang mangsa yang majoritinya berbangsa Cina. – 11 Mei, 2019.
Komen