Penyelewengan Yapeim lebih buruk daripada yang disangka, kata ketua pemuda PKR


Diyana Ibrahim

Akmal pernah mendedahkan penyelewengan dana Yapeim ketika beliau menjadi pengarah eksekutif pertubuhan pemantau National Oversight and Whistleblowers (NOW). – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mei, 2019.

PENYELEWENGAN dalam pengurusan dana Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) jauh lebih buruk daripada yang disangka, kata Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir.

Merujuk kepada laporan The Malaysian Insight hari ini, Ahli Parlimen Johor Bahru menuntut supaya tindakan tegas diambil terhadap orang yang bertanggungjawab, termasuk memulangkan semula wang yang didakwa telah diselewengkan.

“Saya merujuk kepada laporan The Malaysian Insight bertarikh 11.5.2019 berkenaan satu laporan penstrukturan semula Yapeim yang antara lainnya mengesahkan kebenaran pendedahan demi pendedahan mengenai penyelewengan dan ketirisan Yapeim pada tahun 2015.

“Umum mengetahui bagaimana wang tersebut disalahguna oleh mereka yang terbabit ke luar negara, pembelian alat golf simulator dan bayaran gaji serta bonus yang melampau kepada diri masing-masing.

“Pendedahan laporan terbaru ini pula menunjukkan penyelewengan turut berlaku dalam urusan perniagaan seperti Ar Rahnu dan pembelian syer syarikat yang tidak menguntungkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Akmal memberi maklum balas terhadap laporan eksklusif yang diterbitkan The Malaysian Insight mengenai skandal yang berlaku dalam pertubuhan Islam.

The Malaysian Insight menerima maklumat mengenai pelan penstrukturan semula yayasan tersebut yang mengatakan para pengarah yayasan tersebut menerima wang sekurang-kurangnya RM400,000, manakala pegawai kanannya memperoleh RM250,000, sementara ketua pengarah menerima wang sebanyak RM100,000 dan jawatan-jawatan kanan yang lain menerima wang sebanyak RM35,000.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa amalan pemberian bonus yang tinggi telah menjejaskan prestasi kewangan Yapeim.

Pada tahun 2015, Akmal pernah mendedahkan penyelewengan dana Yapeim ketika beliau menjadi pengarah eksekutif pertubuhan pemantau National Oversight and Whistleblowers (NOW).

Berikutan kritikannya terhadap pengurusan Yapeim, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom memfailkan saman sivil namun permohonan itu digugurkan oleh Mahkamah Tinggi.

“Saya juga berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang memilih peralihan kuasa kerajaan yang sekaligus membolehkan skandal-skandal rasuah disiasat.” kata Akmal.

Akmal mencadangkan supaya Yapeim melaksanakan pembaharuan dalam penstrukturan semula sebelum mendesak kerajaan untuk menggubal semula Akta Pemberi Maklumat.

“Saya bersedia mendedahkan identiti sebenar pemberi maklumat yang menyalurkan  bukti-bukti skandal penyelewengan Yapeim sekaligus menyelamatkan yayasan tersebut, sekiranya mereka ini diberikan perlindungan dan penghormatan yang sewajarnya,” katanya.

The Malaysian Insight masih berusaha untuk menghubungi Ketua Pengarah Yapeim, Abibullah Samsudin bagi mendapatkan maklum balas. – 11 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen