50% pembeli rumah hadapi masalah pembiayaan, kata pemaju


Noel Achariam

Kebanyakan pembeli rumah tidak berjaya mendapat margin yang diingini, menyebabkan mereka menolak pembiayaan yang ditawarkan pihak bank. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2017.

PEMBELI rumah yang mengalami masalah pembiayaan bank adalah antara punca mengapa pemaju berdepan pasaran yang sukar pada separuh pertama tahun ini, menurut tinjauan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) hari ini.

Ia mendapati 52% pembeli rumah tidak berjaya memperoleh pembiayaan daripada bank bagi rumah kos rendah hingga sederhana dalam lingkungan RM100,000 hingga RM500,000.

Presiden Rehda Fateh Iskandar berkata unit tidak terjual adalah isu utama yang dihadapi pemaju susulan masalah pembiayaan dan penolakan pinjaman di kalangan pembeli.

“Sekurang-kurangnya 73% daripada responden (pemaju) berkata pembeli rumah menghadapi masalah pembiayaan.

“Bukannya mereka tidak boleh mendapat pinjaman daripada bank, hanya yang tidak berjaya mendapatkan margin yang mereka inginkan.

“Pembeli menjangkakan pinjaman 90% tetapi bank hanya memberi pinjaman antara 70% hingga 75%.

“Akhirnya mereka perlu mengeluarkan lebih banyak wang bagi bayaran pendahuluan yang mana mereka sebenarnya tidak mampu,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Rehda, Petaling Jaya.

Fateh juga mengatakan antara isu lain yang dihadapi oleh pembeli adalah sejarah kredit, ketidakpastian pembeli dan permintaan oleh bank untuk lebih banyak dokumen.

Umur pembeli rumah kali pertama adalah antara 25 hingga 30 tahun, katanya.

“Mereka memerlukan bantuan pembayaran pendahuluan sebanyak 10%, malah pemaju telah mengambil inisiatif meningkatkan jualan dengan membantu pembeli rumah melalui deposit 10% dan mengkaji semula harga,” katanya.

Kajian itu dijalankan dengan 153 pemaju di seluruh negara yang merupakan ahli Rehda.

Menurut pemaju yang ditinjau, 41% unit yang tidak terjual adalah hartanah di bawah harga RM500,000 yang terletak di Johor, Kedah, Melaka, Pahang, Perak dan Perlis.

Di samping masalah pembiayaan, permintaan rendah dan pembahagian kuota Bumiputera adalah faktor lain yang menyebabkan unit rumah gagal dijual.
Kos perniagaan meningkat

Kaji selidik itu juga mendapati 51% daripada responden berkata kos perniagaan meningkat sehingga 10%.

Tiga komponen kos paling utama yang mempengaruhi aliran tunai mereka adalah tanah, bahan binaan dan kos buruh.

Keseluruhannya, 40% daripada pemaju perumahan berkata mereka “sangat terjejas” dengan senario ekonomi semasa.

Anggota Exco Rehda, Anthony Cho berkata cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan dua tahun lalu turut memberi impak terhadap kos pembinaan.

Penghadang keluli, pasir, simen dan barangan lain turut menyumbang kepada kos bangunan.

“Kerajaan boleh memperkenalkan GST tetapi kadar semasa sebanyak 6% perlu dikurangkan jika mahu membantu industri pembinaan.

“Sekurang-kurangnya selepas melaksanakan GST mereka seharusnya mengurangkan duti setem,” katanya.

Kaji selidik itu juga mendapati pelancaran hartanah juga berkurangan bagi hartanah kediaman dan komersil.

Bilangan pelancaran dikurangkan sebanyak 31% pada separuh kedua 2016, dan 34% pada separuh pertama tahun ini.

Rehda berkata lebih banyak pelancaran dijangka pada separuh kedua tahun ini dengan “prestasi sederhana” dan kebanyakan negeri akan mengekalkan atau menurunkan harga hartanah pada RM500,000 dan ke bawah, kecuali bagi Selangor dan Kuala Lumpur. – 20 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen