50 tahun berlalu, keluarga mangsa rusuhan 13 Mei masih teringat


Alfian Z.M. Tahir

114 mangsa rusuhan 13 Mei disemadikan di sebuah kawasan perkuburan yang terletak di belakang masjid Ibnu Sina di Sungai Buloh. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 Mei, 2019.

KETIKA rusuhan kaum pada 13 Mei, 1969, Yong Siok Kang hanya berumur 11 tahun. Bapanya, Yong Tiong Seng sedang bekerja di tapak pembinaan di Kampung Baru Kuala Lumpur semasa rusuhan berlaku.

Tapak pembinaan Tiong Seng diserang oleh perusuh pada malam 13 Mei, dan bapanya antara yang terbunuh.

50 tahun berlalu, Siok Kang kini berusia 61 tahun, masih ingat bagaimana ibu dan tujuh adik-beradiknya terkejut apabila mendapat berita mengenai kematian bapanya.

“Dia di Kampung Baru sementara kami duduk di Klang pada masa itu. Dia selalu sibuk bekerja dan semasa rusuhan berlaku dia nak pastikan peralatan di tapak pembinaan itu selamat.

“Malangnya, dia terbunuh bila diserang. Mungkin cuma dia saja orang Cina di Kampung Baru pada masa itu.

“Pada masa itu, mak saya sedang mengandung. Ayah saya tak sempat tengok anak bongsunya,” Siong Kak memberitahu The Malaysian Insight ketika ditemui pada majlis memperingati mangsa 13 Mei di Sungai Buloh, pagi tadi.

Yong Siok Kang (kiri) berumur 11 tahun semasa bapanya terbunuh dalam rusuhan 13 M1ei 1969. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 Mei, 2019.

Ditanya bagaimana beliau mendapat tahu bapanya dibunuh perusuh, Siok Kang berkata keluarganya mendapat tahu daripada rakan bapanya yang berbangsa India, yang bersembunyi ketika ternampak Tiong Seng diserang.

“Kami diberitahu oleh seorang India yang terselamat bahawa ayah saya diserang sekumpulan lelaki.

“Dia ada di sana semasa kejadian dan sangat takut. Dia menyorok dalam tangki air kosong selama dua hari. Kemudian askar selamatkan dia,” kata Siong Kok.

Tiong Seng antara 144 mangsa yang disemadikan di sebuah tapak perkuburan di Sungai Buloh yang terletak di belakang Masjid Ibnu Sina.

Tapak perkuburan seluas dua gelanggang badminton itu menempatkan 114 kubur - seorang India, dua Melayu dan 111 Cina (termasuk yang tidak dapat dikenal pasti). Mereka disemadikan dengan hsan kerajaan Malaysia.

Kata Siong Kak, beliau langsung tiada persaan dendam dengan masyarakat Melayu.

Padanya, yang bersalah adalah rusuhan 13 Mei terhadap ahli politik yang menggunakan sentimen perkauman untuk membangkitkan rasa benci dalam kalangan rakyat.

“Sepanjang saya membesar, saya tak ada masalah dengan orang Melayu. Saya ada kawan Melayu, mereka semua orang baik-baik.

“Kejadian ini puncanya dari politik.

“Ahli politik tak bertanggungjawab gunakan sentimen perkauman dan agama supaya rakyat saling membenci.

“Rusuhan ini semata-mata sebab politik. Yang jadi mangsanya adalah orang yang tak bersalah,” katanya.  – 11 Mei, 2019.

Berita penuh di sini.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen