Pemuda PKR gesa Takiyuddin tarik balik kenyataan terhadap Anwar dan mohon maaf  


Ragananthini Vethasalam

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hasan diminta menarik balik kenyataan terhadap Anwar Ibrahim dan memohon maaf. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mei, 2019

PEMUDA PKR menggesa Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hasan agar menarik balik kenyataannya bahawa Anwar Ibrahim tidak layak menjadi perdana menteri kerana sabitan sebelum ini.

Menyifatkan kenyataan pemimpin PAS itu sebagai biadap dan berniat jahat, Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir berkata Takiyuddin sudah melampaui batas.

“Takiyuddin memanggil dirinya peguam, tetapi jelas sekali beliau gagal memahami undang-undang,” kata Akmal dalam satu kenyataan.

“Kenyataan Takiyuddin ternyata berniat jahat dengan sengaja untuk menimbulkan penghinaan terhadap Anwar. Ia secara tidak langsung juga memperlekeh perkenan Agong untuk mengurniakan pengampunan penuh kepada Anwar.”

Pada 16 Mei tahun lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V memberi pengampunan kepada Anwar yang dipenjarakan kerana didapati bersalah kerana meliwat.

Anwar menjalani hukuman penjara lima tahun sejak Februari 2015 selepas Mahkamah Tinggi memutuskan sabitan dan menjatuhkan hukuman atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.

Akmal berkata dengan pengampunan diraja, Anwar bukan lagi seorang banduan.

“Anwar juga dibenarkan untuk terus menyertai pilihan raya yang bermaksud sekatan lima tahun di bawah Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan tidak berbangkit.

Perkara 48 menyatakan bahawa seseorang yang disabitkan dan dijatuhi hukuman penjara sekurang-kurangnya setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan-akan dibatalkan kelayakan daripada menjadi ahli parlimen.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng turut membidas Takiyuddin kerana kenyataannya.

Setiausaha agung DAP itu menerusi Twitter berkata, pemimpin PAS itu tidak menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk mengampunkan Anwar. – 11 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen