70 negara gesa Korea Utara hapus senjata nuklear


70 buah negara semalam menggesa Korea Utara menghapus senjata nuklearnya, peluru berpandu balistik dan program berkaitan, mengutuknya sebagai ancaman kepada keamanan dunia. – Gambar EPA, 11 Mei, 2019.

SEBANYAK 70 buah negara semalam menggesa Korea Utara menghapus senjata nuklearnya, peluru berpandu balistik dan program berkaitan, mengutuknya sebagai ancaman kepada keamanan dunia.

Dokumen yang dirangka oleh Perancis itu ditandatangani Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan termasuk negara dari Asia, Amerika Latin, Afrika dan Eropah.

Bagaimanapun, Russia dan China yang menyokong Pyongyang tidak ikut serta.

Menurut sumber diplomatik, kira-kira 15 negara diminta untuk menyertai gesaan pelucutan senjata ke atas Korea Utara selepas dua peluru berpandu dilepaskan baru-baru ini.

Dokumen itu menyebut negara-negara berkenaan menggesa republik itu mengelak sebarang provokasi dan meneruskan rundingan dengan AS mengenai pelucutan senjata nuklear.

Pyongnyang melancarkan dua peluru berpandu jarak dekat Khamis lalu selepas mengadakan ujian terdahulu pada Sabtu.

Kim berikrar untuk mengakhiri ujian senjata nuklear dan peluru berpandu jarak jauh semasa usaha memulihkan hubungan diplomatiknya tahun lalu. – AFP, 11 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen