Polis tiada bantahan dengan IPCMC, kata Abu Kassim 


Noel Achariam

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador (kiri) dan Ketua Pengarah GIACC Abu Kassim Mohamed ketika mengadakan sidang media di Putrajaya hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 10 Mei, 2019

POLIS tidak mempunyai sebarang bantahan dalam penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), kata Abu Kassim Mohamed.

Ketua pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) yang mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dan pegawai kanan hari ini berkata kebimbangan yang dibangkitkan mengenai penubuhan suruhanjaya itu telah ditangani.

“Kami telah bincangkan mengenai kebimbangan mereka berhubung apa yang kita akan letakkan pada dokumen dan undang-undang yang akan didraf dan dibentangkan ke kabinet. 

“Tiada sebarang halangan dan mereka memberikan sokongan kepada kerajaan untuk tubuhkan IPCMC.

“Hanya beberapa perkara yang perlu dibincangkan dan kami merancang untuk seelsaikan semua ini dan bawa ke kabinet dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya selepas mesyuarat di Putrajaya.

IPCMC merupakan badan pemerhati polis yang dicadangkan oleh suruhanjaya diraja pada 2005 untuk menambah baik pasukan polis, berikutan kes kematian dalam tahanan.

Pada 2006, pasukan polis di bawah Ketua Polis Negara Mohd Bakri Omar melancarkan kempen untuk menolak IPCMC.

Abu Kassim berkata, antara kebimbangan yang dibangkitkan etiak pertemuan itu adalah sekiranya IPCMC ada kuasa untuk mendakwa.

“Mereka tiada kuasa untuk mendakwa dan mereka hanya bertindak sebagai badan disiplin.

“Mereka hanya tumpukan kepada kes disiplin.”

Beliau berkata Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard tetap akan terus menjalankan siasatan dan IPCMC tidak campur tangan dalam peranan mereka.

“IPCMC tidak mengambil peranan jabatan pematuhan. Sekiranya ada aduan, kedua-dua agensi boleh menjalankan siasatan mereka sendiri.

“Sebaik sahaja IPCMC ditubuhkan barulah aduan akan disalurkan ke bahagian disiplin mereka.”

Abu Kassim berkata beliau yakin IPCMC akan ditubuhkan dalam tahun ini.

Sementara itu, Hamid berkata beliau gembira dengan mesyuarat itu dan semua isu yang dibangkitkan oleh pegawainya dijelaskan dengan teliti.

“Penjelasan yang dierikan Abu Kassim sangat jelas. IPCMC berikan banyak ruang kepada polis dan ia tidak akan menghakis kuasa yang diberikan kepada mereka.

“Kami akan bertemu lagi minggu depan dengan GIACC untuk memuktamadkan apa yang dibincang dan diputuskan.” – 10 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen