SEORANG aktivis anti junta Thai yang lebih dua tahun merengkok dalam penjara kerana menghina monarki negara itu dengan mengongsikan artikel BBC, dibebaskan hari ini setelah diberi pengampunan diraja.
Pembebasan Jatupat “Pai Dao Din” Boonpatararaksa, 27, disambut gembira oleh ahli keluarga dan rakan sebaik saja meninggalkan penjara wilayah Khon Kaen.
“Saya tidak marahkan sesiapa, saya hanya cintakan demokrasi dan kebebasan,” katanya menerusi video yang disiarkan di Facebook.
Pengampunan diraja diberi beberapa hari selepas pertabalan Raja Maha Vajiralongkorn pada hujung minggu lepas. Ia adalah pertabalan pertama sejak 69 tahun lalu.
Thailand mempunyai undang-undang lese-majeste iaitu undang-undang yang menghalang penghinaan terhadap raja yang membawa hukuman maksimum 15 tahun.
Jatupat didapati bersalah selepas mengongsikan profil Vajiralongkorn yang ditulis oleh BBC dalam bahasa Thai di London.
Profil tersebut mengandungi butiran kehidupan peribadi Vajiralongkorn, 66, yang cukup terkenal di dalam negara tetapi jarang didedahkan media Thai.
Ia kemudian dikongsi lebih 2,000 kali. Bagaimanapun, hanya Jatupat yang didakwa. – AFP, 10 Mei, 2019.
Komen