FACEBOOK secara tidak sengaja menjana kandungan untuk kumpulan yang ada kaitan dengan keganasan yang gagal dikenal pasti oleh sistem “artificial intelligence” sebagai pelampau, kata satu aduan semalam.
Ia merujuk kepada kajian Pusat Pemberi Maklumat Kebangsaan di Washington ke atas 3,000 ahli yang suka atau berhubung dengan organisasi yang dikategorikan sebagai pengganas oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS).
Penyelidik mendapati kumpulan militan IS dan al-Qaeda secara terbuka aktif di rangkaian media sosial.
Lebih membimbangkan, perisian Facebook sendiri secara automatik meraikan dan mengenang video laman pelampau yang berjaya menarik sejumlah tontonan atau “likes”.
Pusat berkenaan berkata ia memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat bagi pihak sumber yang tidak didedahkan.
“Usaha Facebook untuk menyekat kandungan keganasan terlalu lemah dan tidak berkesan,” menurut dapatan dokumen 48 muka surat yang dikongsi pusat itu.
Keputusan tinjauan yang dikongsi aduan berkenaan menunjukkan Facebook tidak menghentikan sebarang entri atau akaun berbau ekstremis.
Sebelum ini, syarikat itu berkata ia berjaya membuang kandungan yang berkaitan keganasan berbanding dua tahun lalu.
“Kami tidak mengatakan semua anasir itu berjaya disekat, tetapi kami tetap berjaga-jaga dalam usaha menentang kumpulan pengganas di seluruh dunia,” kata Facebook. – AFP, 10 Mei, 2019.
Komen