JABATAN Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat semalam berkata akan mendakwa ahli kumpulan penggodam China yang “sangat sofistikated”, dan didakwa mencuri maklumat peribadi lebih 78 juta orang daripada penginsurans kesihatan Anthem pada 2015.
Jabatan itu berkata kumpulan yang menjadi dalang kempen menyasarkan sistem komputer di empat kumpulan industri AS itu secara perlahan mencuri rahsia syarikat dan data peribadi.
“Tuduhan dalam pendakwaan hari ini menggariskan aktiviti kumpulan penggodam komputer berpangkalan di China yang melakukan tindakan mencuri data paling teruk dalam dunia,” kata Penolong Peguam Negara Brian Benczkowski.
Pengumuman itu dibuat ketika hubungan Washington dan Beijing masih tegang di mana China didakwa mengadakan program mencuri rahsia syarikat AS bagi mempercepatkan pembangunan teknologi China.
Kertas pertuduhan menamakan seorang ahli kumpulan itu, Wang Fujie, 32, dan berkata ahli lain turut didakwa, termasuk sesetengahnya yang identiti sebenar belum diketahui.
DoJ tidak menyebut sama ada kumpulan itu ada kaitan atau tidak dengan kerajaan, dan tidak memaklumkan bagaimana data yang dicuri itu digunakan. – AFP, 10 Mei, 2019.
Komen