Lebih banyak soalan kepada ahli Parlimen pada 'Hari Kementerian' kata Nga


Khoo Gek San

Dewan Rakyat akan melancarkan satu inisiatif baharu yang dipanggil "Hari Kementerian" pada Julai bagi membolehkan menteri menjawab soalan dari pembangkang, kata Timbalan Speaker Nga Kor Ming. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mei, 2019.

DEWAN Rakyat akan melancarkan satu inisiatif baharu yang dipanggil “Hari Kementerian” pada Julai bagi membolehkan menteri menjawab soalan dari pembangkang, kata Timbalan Speaker Nga Kor Ming.

Ia sebahagian daripada pembaharuan Parlimen di bawah Pakatan Harapan (PH) untuk menambah baik kecekapan Parlimen dan membuang imej “rubber stamp” sejak gabungan itu membentuk kerajaan Persekutuan setahun lalu.

Terdapat 28 kementerian dalam Kabinet kata Nga, dan sekurang-kurangnya tujuh menteri perlu hadir di Parlimen pada bila-bila masa untuk menjawab soalan berkaitan kementerian masing-masing. Bermakna, menteri perlu duduk lama di Dewan.

“Mengikut amalan Parlimen sebelum ini, menteri perlu lama berada di Parlimen (hingga tengah malam) sebab perlu menjawab soalan dari Ahli Parlimen.

“Setiap kali seorang menteri hadir, ramai pegawai mengikut kerana mereka perlu tahu maklumat terkini. Cara ini sangat tidak cekap, jadi, kita bercadang untuk perkenalkan Hari Kementerian,” katanya dalam wawancara sempena setahun PH membentuk kerajaan Persekutuan.

Pada Hari Kementerian ini, semua menteri akan berkumpul untuk menjawab soalan di Dewan pada hari tertentu.

“Contohnya, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pendidikan pada Isnin. Menteri-menterinya akan duduk si Dewan dan jawab semua soalan berkaitan.

“Pada Selasa hingga Khamis, menteri-menteri tadi tak perlu hadir di Parlimen dan boleh buat kerja di kementerian masing-masing. Kemudian datang semula pada giliran seterusnya.”

Nga berkata amalan sama juga sudah dilaksanakan di United Kingdom sejak beberapa tahun lalu.

Tambah beliau, Pejabat Speaker juga akan menyelaraskan proses menjawab soalan, yang mana menteri sendiri akan menjawab apabila tiba giliran kementerian mereka. Manakala timbalan menteri akan menjawab soalan lain yang berkaitan.

Pada Hari Kementerian ini, semua menteri akan berkumpul untuk menjawab soalan di Dewan pada hari tertentu, kata kata Timbalan Speaker Nga Kor Ming. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mei, 2019.

Lebih banyak hari bersidang

Menambah kecekapan Parlimen juga membolehkan lebih banyak hari bersidang, iaitu berbanding 51 ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) kepada 100 hari, kata Nga.

“Parlimen di bawah BN macam rubber stamp. Ikut saja apa yang kerajaan mahu buat.

“PH mahu pengasingan kuasa (antara Eksekutif dan Badan Perundangan) dikuatkuasakan. Kita juga mahu menambah bilangan hari bersidang daripada 51 kepada 100 hari,” jelasnya, sambil menambah jumlah hari bersidang paga tahun ini bertambah kepada 68 hari.

Bagaimanapun, lebih banyak hari bersidang juga bermakna lebih banyak elaun akan dibayar kepada ahli Parlimen untuk hadir.

Selain daripada Hari Kementerian yang dicadangkan, Parlimen turut merancang untuk melaksanakan “Masa Perdana Menteri”, yang mana perdana menteri diberi 30 minit untuk membangkitkan isu kritikal terkini dan akan disiarkan di saluran media.

Kata Nga, dengan perdana menteri sendiri menjawab soalan, ini secara tidak langsung akan meningkatkan ketelusan dan membanteras penyebaran berita palsu.

“Kita mahu Parlimen menumpukan perkara yang penting dan tidak membuang masa kepada retorik politik,” kata ahli Parlimen Teluk Intan dan timbalan setiausaha agung DAP itu. – 10 Mei, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen