LEBIH 1,000 senjata api dan peluru yang dirampas dalam satu serbuan di sebuah rumah agam di kawasan perumahan mewah di Los Angeles, kata pihak berkuasa.
Rampasan itu dibuat susulan maklumat daripada orang awam berkenaan senjata dijual secara haram di rumah itu, kata Biro Alkohol, Tembakau dan Senjata Api (ATF).
Rumah itu yang agak tersembunyi dari jalan utama kerana laluan berbukit tinggi, terletak di kawasan eksklusif Holmby Hills, berhampiran banglo Playboy yang terkenal, dan hanya setengah batu dari rumah pasangan terkenal Jay-Z dan Beyonce.
Sumber daripada pihak berkuasa berkata rumah itu milik Cynthia Beck, yang mempunyai tiga anak bersama Gordon Getty, anak kepada hartawan minyak J. Paul Getty.
Beck dilaporkan menjalinkan hubungan dengan Girard Damien Saenz, lelaki yang mengumpul senjata itu dan ditahan di rumah berkenaan kerana disyaki memiliki, menjual dan menghasilkan senjata.
Saenz, 57, yang belum didakwa secara rasmi, dibebaskan pagi semalam dengan ikat jamin AS$50,000. – AFP, 10 Mei, 2019.
Komen