RAKYAT Malaysia patut menyertai bidang pertanian secara moden dan berteknologi tinggi kerana ia menjanjikan harapan cerah untuk negara pada masa akan datang, kata Daim Zainuddin.
Malaysia setakat ini belum mengambil kesempatan atas sumber alam anugerah Tuhan dan peluang luas yang ada dalam bidang pertanian, katanya.
“Tiada apa yang salah dengan negara ini, kecuali kita sesama sendiri. Kita seolah-olahnya tidak menghargai apa yang alam berikan, apa yang Tuhan kurnia.
“Kita mesti bina semula negara ini… bersama. Ada banyak peluang hebat dalam ekonomi baru.
“Selain revolusi masa akan datang, kita patut bawa masuk infrastruktur dan industri baru, modenkan pertanian kita,” kata bekas menteri kewangan itu dalam satu wawancara di pejabatnya di Kuala Lumpur, minggu ini.
Daim, yang mengetuai jawatankuasa penasihat kerajaan semasa 100 hari pertama pentadbiran Pakatan Harapan antara Mei dan Ogos tahun lalu, ditanya harapan masa depan untuk Malaysia dalam senario ekonomi dan politik semasa.
“Jumlah penduduk tidak akan berkurangan. Tanah tidak akan bertambah. Kita perlu hasilkan lebih banyak makanan. Setakat ini kita belum lagi ambil kesempatan (atas keperluan itu). Ayuh, kita mulakan.”
Daim yang pernah disifatkan sebagai arkitek ekonomi yang membantu Malaysia mengharungi krisis kewangan yakin tumpuan baru dalam bidang pertanian berteknologi tinggi akan mengurangkan jumlah import makanan serta pergantungan negara pada pekerja asing.

Beliau menarik perhatian bahawa import makanan termasuk untuk ternakan kini berjumlah purata RM50 bilion setahun, yang kalau dapat dikurangkan kepada separuh pun masih terlalu tinggi.
“Duit yang kekal di negara kita, kita boleh belanjakan untuk rakyat. Nilai ringgit akan naik. Ini kesan daripada apa yang kita boleh buat. Itu sebabnya kita perlu rancang masa depan dengan teliti,” katanya.
Tumpuan baru pada bidang pertanian moden juga, kata Daim, akan membantu Malaysia menangani kesan kejatuhan teruk harga getah dan kelapa sawit sehingga membebankan petani kecil.
Felda baru-baru ini memulakan projek perintis menggalakkan peneroka menanam tanaman yang mengeluarkan hasil lebih cepat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan sebagai sumber pendapatan baru.
Katanya, beberapa kerajaan negeri sudah memberikan maklum balas yang positif tentang keperluan Malaysia hari ini memberi tumpuan baru dalam bidang pertanian.
Ditanya fokus banyak pihak sekarang pada bidang teknologi dan Revolusi Perindustrian 4.0, Daim berkata pertanian juga setara dengan bidang tumpuan baru masa kini itu.
Beliau memberikan contoh bagaimana pertanian dijalankan di China dengan menggunakan teknologi Internet dan rangkaian 5G, yang membolehkan petaninya bertani dengan persis.
Atas sebab itu, bidang pertanian juga memerlukan petani baru yang cekap teknologi, katanya.
“Saya nampak peluang yang besar dalam bidang ini (pertanian). Graduan yang menganggur, silalah (sertai bidang pertanian). Kita perlu cerdik pandai juga sebagai petani,” katanya. – 10 Mei, 2019.
Komen