Tambah tempat matrikulasi satu kompromi, kata ketua DAP Perak


Khoo Gek San

Memandangkan keadaan politik semasa, penambahan pengambilan program matrikulasi daripada 2,500 tempat setahun kepada 4,000 orang, sambil mengekalkan kuota berdasarkan kaum, adalah tindakan kompromi terbaik diambil oleh kerajaan Pakatan Harapan. – The Malaysian Insight file pic, March 11, 2019.

KEPUTUSAN Putrajaya menambah bilangan tempat program matrikulasi adalah satu kompromi untuk mencuba dan memperbaiki kesilapan dasar semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN), kata Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming.

Mengekalkan 90% tempat matrikulasi untuk pelajar Bumiputera, dengan baki 10% untuk bukan Bumiputera, adalah sistem “menyedihkan” yang ditetapkan oleh BN tetapi tidak dapat dihapuskan segera oleh Pakatan Harapan (PH), kata Nga.

“Matlamat Kementerian Pendidikan adalah untuk mewujudkan sistem berasaskan meritokrasi, itulah yang perlu dilakukan.

“Pemberian tempat berdasarkan warna kulit seseorang adalah dasar yang teruk, kita harus menilai para pelajar mengenai kebolehan dan keperluan mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun, pengumuman Putrajaya baru-baru ini mengenai penambahan pengambilan program matrikulasi dari 2,500 tempat setahun kepada 4,000 orang, sambil mengekalkan kuota berdasarkan kaum, adalah kompromi terbaik memandangkan keadaan politik semasa, katanya.

“Kerajaan PH hanya meneruskan dasar pemerintahan sebelumnya. PH baru sahaja kalah tiga pilihan raya kecil berturut-turut, jika anda mahu menghapuskan kuota matrikulasi sekarang, Umno dan PAS pasti akan mengeksploitasi isu tersebut, dan MCA juga akan mengambil kesempatan mengapi-apikan perkara ini kepada masyarakat Cina,” kata Nga kepada The Malaysian Insight dalam temu bual baru-baru ini.

Beliau berkata pembangkang “sangat tidak bertanggungjawab” dalam mengkritik keputusan PH, yang dibuat untuk menangani bilangan tempat dalam program matrikulasi yang terhad bagi pelajar bukan Bumiputera.

“Keputusan itu jelas merupakan satu kompromi. Mempunyai kuota 90% daripada tempat yang dikhaskan untuk Bumiputera manakala baki 10% untuk bukan Bumiputera adalah dasar kerajaan terdahulu,” katanya.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berkata pemberian tempat berdasarkan warna kulit adalah dasar yang teruk kerana para pelajar perlu dinilai berdasarkan kebolehan dan keperluan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mei, 2019.

“Jadi pada masa itu terdapat 25,000 tempat, dengan bukan Bumiputera hanya diberikan 2,500 tempat. Daripada jumlah itu, kaum India diberi 2,200 tempat, dan hanya 300 diberikan kepada pelajar Cina.

“Hanya terdapat 2,500 tempat untuk bukan Bumiputera, dan ini mendorong serangan daripada masyarakat India, sehingga mereka diberikan 2,200 tempat.

“Sesiapa sahaja boleh mengkritik (prestasi kerajaan), tetapi Umno dan MCA harus menutup mulut mereka kerana itu hanya satu pertunjukan politik.”

Nga berkata, bagi menjadikan negara lebih maju, ia mesti “membuang cara lama melakukan sesuatu”, dan bertukar kepada dasar berasaskan keperluan dan merit.

Ditanya sama ada PH kini memberi tumpuan kepada Bumiputera selepas tinjauan baru-baru ini menunjukkan penurunan populariti terhadap gabungan pemerintah, Nga berkata kerajaan memberi tumpuan kepada ekonomi dan mengutamakan rakyat, bukannya komuniti tertentu.

“Kita perlu meninggalkan dasar lama dan mesti dibimbing oleh dasar pendidikan dan ekonomi yang kukuh,” kata ahli Parlimen Teluk Intan itu.

“Kita rakyat Malaysia dan perlu bertindak seperti rakyat Malaysia.” – 10 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen