BANK pusat Australia malu besar selepas mengakui wujud salah cetakan di wang kertas AUD50 terbarunya.
Wang kertas berwarna kuning dan hijau itu bernilai sekitar RM144 mula diedarkan Oktober lepas. Ia dilengkapi beberapa ciri keselamatan canggih- termasuk cetakan mikro ucapan ahli Parlimen Australia wanita pertama, Edith Cowan.
Tetapi, teknologi canggih itu nampaknya tidak disertakan dengan pemeriksa bahasa.
Tujuh bulan berlalu untuk rakyat sedar wujud kesilapan dalam ejaan “responsibility” dalam teks ucapan Cowan pada 1921 yang dicetak atas mata wang itu.
“I stand here today in the unique position of being the first woman in an Australian parliament. It is a great responsibilty,” tulis ucapan itu, dengan ejaan “responsibilty” tersalah eja, tidak ada abjad “i”.
Kesilapan itu sukar dikesan dengan mata kasar. Malah, Bank Rizab Australia mungkin terlepas daripada kesilapan itu selama-lamanya jika tidak kerana seorang pendengar radio.
Tetapi, tidak ada rancangan untuk menarik balik wang kertas itu daripada edaran.
“Bank Rizab Australia menyedari kesilapan itu dan ejaan itu akan dibetulkan pada cetakan akan datang,” kata jurucakap bank.
Edith Cowan memainkan peranan penting untuk mendapatkan hak mengundi kepada wanita di barat Australia dan pada usia 60 tahun berjaya masuk Parlimen. Beliau jadi perintis membuka jalan kerjaya perundangan dan lain-lain kepada wanita di negara itu. – AFP, 9 Mei, 2019.
Komen