DUA urus niaga pertukaran tanah melibatkan Kementerian Pertahanan sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Mohamad Sabu.
Menteri itu berkata pegawai kementerian membantu SPRM dalam siasatan terhadap kedua-dua urus niaga itu.
Mohamad berkata kementerian akan membuat lebih banyak laporan jika urus niaga itu mempunyai elemen jenayah.
“Sekiranya terdapat lebih banyak kes, kami akan melaporkannya kepada SPRM,” kata Mohamad kepada media di lobi Parlimen hari ini.
Terdahulu, Mohamad membentangkan audit khas bekas ketua audit negara Ambrin Buang mengenai projek pertukaran tanah yang melibatkan kementerian di Dewan Negara.
Pada Februari, kementerian menggesa SPRM menyiasat dua projek pertukaran tanah di Hutan Melintang (Perak) dan Kem Paloh di Johor.
Menurut ringkasan eksekutif, kedua-dua projek itu mempunyai unsur campur tangan politik.
“Pemeriksaan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan penemuan jawatankuasa bahawa kem tentera di Bera, Segamat, Paloh dan Hutan Melintang dibina untuk tujuan politik dan bagi memindahkan pengundi tentera sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Kehadiran SPR di beberapa kem membuktikan pembinaan kem ini adalah strategi untuk memenangi PRU14 kerana ia bukan kawasan strategik untuk kementerian.
“Dalam kes kem di Paloh, terdapat memorandum daripada bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein, mendesak Putrajaya memberi keutamaan projek untuk kawasan Parlimen Sembrong.
“Ini menyebabkan pengeluaran surat kebenaran kepada pemaju untuk membeli tanah dan membinanya sebelum kontrak ditandatangani,” kata ringkasan eksekutif itu.
Laporan itu, yang membabitkan 16 projek pertukaran tanah, mengatakan kerajaan rugi kira-kira RM500 juta akibat campur tangan politik oleh kerajaan Barisan Nasional, pentadbiran yang lemah dan kontrak berat sebelah. – 9 Mei, 2019.
Komen