SEBANYAK AS$20 juta dana bantuan kemanusiaan diperlukan di Gaza untuk membantu kira-kira 1,700 orang yang cedera parah dalam bantahan terhadap Israel baru-baru ini, kata seorang pegawai kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu, lapor agensi berita Xinhua.
Jamie McGoldrick berkata mereka cedera ketika menyertai perhimpunan besar-besaran dikenali Perarakan Pulang Besar-Besaran atau “Great March of Return” – protes mingguan yang diadakan pada Jumaat sejak setahun lalu.
Kemudahan kesihatan di Gaza amat menyedihkan dan pembiayaan kecemasan sangat diperlukan, katanya.
Menurut pegawai PBB itu rata-rata gaji penduduk hanya AS$400 sebulan.
Situasi semakin buruk apabila ramai golongan muda tiada pekerjaan dan lebih malang rayuan bantuan kemanusiaan bernilai AS$350 juta untuk 2019, hanya menerima pembiayaan kira-kira 14% setakat ini, katanya. – Bernama, 9 Mei, 2019.
Komen