Kemakmuran bersama untuk Malaysia masa depan, kata Dr Mahathir


Noor Azam Shairi

Semangat kemakmuran itu akan dapat menghapuskan jurang antara rakyat tanpa mengira kaum dan agama, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 Mei, 2019.

MALAYSIA akan dibangunkan untuk 10 tahun akan datang dengan semangat kemakmuran bersama – sebuah wawasan baru yang akan mengagihkan pembangunan dan kekayaan negara dengan lebih adil untuk semua rakyat, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, semangat kemakmuran bersama itu diharap akan menghapuskan jurang pendapatan dan kekayaan semua rakyat tanpa mengira kelas, kaum, dan wilayah.

“Matlamat Kemakmuran Bersama adalah untuk menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat Malaysia.

“Hasrat Kemakmuran Bersama ini adalah dengan tujuan memastikan seluruh rakyat merasai nikmat dengan lebih adil dan teragih,” katanya di Putrajaya, hari ini.

Jelasnya lagi, Wawasan Kemakmuran Bersama itu akan menggantikan model ekonomi dekad lalu yang hanya menambah hutang negara sementara kekayaan Malaysia tidak pula dinikmati seluruh rakyat.

Dr Mahathir berkata demikian dalam perutusan perdana sempena genap setahun Pakatan Harapan menjadi kerajaan, yang turut disiarkan secara langsung melalui televisyen.

Majlis perutusan perdana itu diadakan untuk kerajaan melaporkan pencapaian dan usaha-usaha yang telah, sedang dan akan dilaksanakan sejak PH mendapat mandat rakyat melalui pilihan raya umum setahun yang lalu.

Menjelaskan lagi wawasan baru Malaysia yang diumumnya hari ini, Dr Mahathir berkata pembangunan atas nama kemakmuran bersama mahu menangani jurang pendapatan dan kekayaan rakyat, dengan membela dan memperkasakan rakyat yang ketinggalan.

Ia juga akan jadi model pembangunan baharu untuk mencipta ekonomi lebih progresif yang akan melibatkan masyarakat dari semua peringkat, selain menjadikan Malaysia lebih cemerlang dan mengangkat negara sebagai paksi ekonomi penting Asia.

Menurut Dr Mahathir, angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) tidak lagi boleh dipakai untuk mengukur pembangunan Malaysia pada masa depan.

Kejayaan pembangunan negara sebaliknya harus dinilai atas apa yang dipunyai oleh rakyat dari segi gaji dan nilai pendapatan isi rumah, pemilikan aset, penyertaan dalam rantaian bekalan, serta nilai jurang antara bandar dan luar bandar.

Semua komponen itu akan mengukur sejauh mana kemakmuran bersama itu nanti dikongsi semua rakyat dengan adil dan saksama, jelas beliau.

Dr Mahathir juga berharap wawasan baru Malaysia ini akan diwacanakan dengan lebih mendalam oleh rakyat. Maklum balas dan idea mereka untuk menjayakan wawasan baru ini nanti akan dimasukkan dalam dua Rancangan Malaysia sehingga 2030.

“Kerajaan akan terus berusaha bagi memastikan semua inisiatif di bawah Janji Kerajaan dipenuhi supaya pencapaian pada masa akan datang tercapai di atas semangat inklusiviti dan nilai keadilan yang akan menyumbang kepada kekayaan untuk dikongsi bersama seluruh rakyat berlandaskan perkongsian kemakmuran,” katanya. – 9 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen