2 maut, 2 cedera dalam insiden tembakan di Mexico 


Anggota polis Mexico melakukan kawalan di Cuernavaca susulan insiden tembakan pada Rabu.– Gambar EPA, 9 Mei, 2019

SEORANG lelaki bersenjata bertindak melepaskan tembakan di bandar Cuernavaca, Mexico pada Rabu, menyebabkan dua pemimpin sebuah kesatuan terbunuh manakala dua lagi cedera, kata pihak berkuasa.

Dataran utama di Cuernavaca, dipenuhi orang ramai di luar ibu pejabat kerajaan apabila seorang lelaki bertindak melepaskan tembakan secara rambang ke arah orang ramai.

“Kami berada di sana menjalankan rutin harian seperti kebiasaannya apabila terdengar bunyi lima das tembakan,” kata wartawan AFP David Monroy.

Rakaman televisyen Mexico menunjukkan seorang lelaki dipercayai bersenjata melarikan diri dari tempat kejadian selepas serangan itu, dan dikejar anggota polis. Lelaki terbabit kemudian berjaya ditangkap.

Pihak berkuasa bagaimanapun masih belum mengetahui identiti suspek.

Dua pemimpin Kesatuan Sekerja Mexico, yang merupakan kesatuan buruh terbesar di negara itu, terbunuh dalam serangan berkenaan.

Ahli perniagaan yang juga pemimpin CTM Jesus Garcia, yang cedera parah meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital, menurut laporan media.

Setiausaha CTM, Roberto Castrejon Calderon yang juga anak kepada timbalan setiausaha agung kesatuan itu turut terbunuh, kata bapanya, Roberto Castrejon Campos. 

Anak kepada Castrejon Calderon turut dibunuh pada April tahun lalu. – AFP, 9 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen