Setahun janji tak tertunai kikis sokongan Pakatan


Ragananthini Vethasalam

Populariti Pakatan Harapan dikatakan mula merudum berikutan langkah tidak popular yang diambil terhadap beberapa janji pilihan rayanya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2019

SELEPAS kemenangan bersejarah setahun yang lalu, populariti Pakatan Harapan kini merudum berikutan langkah yang diambil terhadap beberapa janji pilihan rayanya yang menjadi tumpuan.

Kekalahan pakatan pemerintah dalam tiga pilihan raya kecil pertama tahun ini sebahagiannya adalah berpunca daripada penurunan sokongan daripada mereka yang mengundinya pada Pilihan Raya Umum ke 14.

Penganalisis yang mengkaji keputusan pilihan raya kecil berkata, penurunan sokongan disebabkan pusingan-U yang dibuat pakatan pemerintah dalam pelbagai isu.

Namun, langkah membuat perubahan itu dalam tempoh empat tahun akan datang adalah penting sekiranya PH mahu dipilih bagi penggal kedua, kata bakal perdana menteri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Berikut adalah antara janji besar PH yang tidak ditunaikan, sekaligus menjarakkan kerajaan dengan penyokongnya yang paling gigih - kumpulan pekerja muda, kumpulan masyarakat sivil dan rakyat golongan pertengahan.

Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan turut memohon maaf kerana gagal menunaikan janji pada November lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2019

Bayaran balik pinjaman PTPTN

Menjelang Pilihan Raya Umum ke 14, PH menerima sokongan padu daripada kumpulan pekerja muda yang terpaksa membayar balik pinjaman pelajaran daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Pada pilihan raya itu, PH berjanji kepada peminjam PTPTN mereka hanya perlu membayar semula pinjaman sebaik sahaja mendapat pendapatan RM4,000 ke atas. Ia juga menyatakan peminjam ingkar tidak lagi disenaraihitamkan oleh Jabatan Imigresen.

Ketika ia berjaya mengeluarkan 430,000 peminjam daripada senarai hitam, ia gagal menunaikan janji pertama. Seminggu selepas dilantik, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, kerajaan tidak akan memulakan penangguhan bayaran balik pinjaman itu berikutan masalah kewangan yang diwarisi daripada pentadbiran Najib Razak.

Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan, yang merangka manifesto pakatan, turut memohon maaf kerana gagal menunaikan janji pada November lalu.

“Saya meminta maaf kepada rakyat. Ketika itu (semasa manifesto ditulis), saya tidak tahu mengenai hutang negara yang bertambah dan juga hutang yang ditanggung PTPTN.“Dengan hutang PTPTN berjumlah RM39 bilion yang belum dibayar, menunaikan janji itu akan memburukkan lagi beban hutang negara, kata Wan Saiful.

Menghapuskan tol lebuh raya

PH juga berjanji untuk memansuhkan caj tol secara berperingkat dengan menyemak semula perjanjian konsesi lebuh raya.

“Kami percaya infrastruktur seperti jalan raya dan lebuh raya adalah tanggungjawab kerajaan untuk rakyat,” katanya dalam manifesto, Buku Harapan.

Sejak itu, PH telah memulakan rundingan untuk mengambil alih empat jalan bertol daripada Gamuda Bhd.

Dengan pengambilalihan itu, ia turut mencadangkan untuk memperkenalkan caj kesesakan bertingkat yang akan dikenakan mengikut waktu puncak trafik dan bukan waktu puncak, untuk menggantikan caj tol.

Pakatan Harapan turut berjanji untuk memansuhkan tol secara berperingkat dengan menyemak semula perjanjian konsesi lebuh raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2019

Lantikan politik dalam GLC

Memungkiri janji ini hanya akan menimbulkan kemarahan penyokong PH dari kumpulan masyarakat sivil, seperti yang dijanjikan sebelum pilihan raya iaitu hanya akan melantik ahli lembaga pengarah dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berdasarkan merit dan bukan ikatan politik.

“Kerajaan Pakatan Harapan hanya akan memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah bagi GLC dan syarikat negeri dibuat berdasarkan merit dan profesionalisme, bukan berdasarkan politik,” katanya dalam manifesto.

Gabungan itu bagaimanapun tidak menyatakan bahawa ahli politik tidak akan dilantik untuk peranan dalam GLC.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai pengerusi dan ahli lembaga pengarah syarikat pelaburan negara Khazanah Nasional Berhad selepas peletakan jawatan besar-besaran lembaga pengarah terdahulu.

Jawatan pengerusi secara tradisinya dipegang oleh perdana menteri, namun pelantikan Azmin sebagai ahli lembaga pengarah menimbulkan persoalan.

Azmin menegaskan dengan mengatakan bahawa Khazanah akan dikendalikan oleh sekumpulan profesional dalam pasukan pengurusannya dan pelantikannya tidak bertentangan dengan janji PH.

Pada Januari, PH sekali lagi menjadi tumpuan apabila melantik peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi untuk menerajui Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan Mara Corporation Sdn Bhd.

Haniff berkhidmat sebagai peguam kepada Dr Mahathir manakala Akhramsyah merupakan ahli majlis tertinggi Bersatu, iaitu parti Dr Mahathir dalam PH.

Beberapa hari kemudian, Azmin berkata kerajaan tidak melantik ahli politik ke jawatan tertinggi GLC jika mereka mempunyai kepakaran yang diperlukan.

Ribuan rakyat Malaysia berhimpun di ibu negara bagi membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD). – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2019

Ratifikasi perjanjian antarabangsa

Bulan lalu, Kabinet memutuskan untuk menarik diri daripada meratifikasikan Statut Rom, yang akan menjadikan Malaysia sebahagian daripada Mahkamah jenayah Antarabangsa (ICC).

Tahun lalu, ia turut membatalkan hasrat menandatangani Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD).

Keputusan ini dibuat berikutan kebangkitan kumpulan Melayu yang diterajui oleh parti pembangkang Umno dan PAS, yang membangkitkan kebimbangan bahawa perjanjian itu akan menghapuskan hak keistimewaan Melayu, Islam dan raja-raja Melayu.

Keputusan-keputusan itu menyebabkan janji Pakatan dalam Buku Harapan untuk mengesahkan perjanjian hak asasi manusia antarabangsa tidak ditunaikan. – 9 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen