POLIS tidak akan membantah cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) tetapi akan meminta Ketua Polis Negara yang baharu Abdul Hamid Bador memastikan kepentingan pasukan dipertahan, kata anggota, pegawai dan persatuan polis.
Mereka yakin Hamid akan memperjuangkan kebajikan pasukan polis apabila wakil Polis Di-raja Malaysia (PDRM) bertemu Pusat Gorvenans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC) esok.
Pertemuan esok diadakan selepas bekas Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun dalam kenyataan akhir sebelum bersara berkata warga PDRM termasuk pesara polis membantah penubuhan IPCMC.
Kata Fuzi, pihaknya sudah menulis surat menyatakan pendirian itu kepada kerajaan termasuk memohon satu pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin dalam reaksinya beberapa hari lalu berkata GIACC yang diketuai Abu Kassim Mohamed akan mendengar rungutan pasukan polis mengenai IPCMC.
Polis selama ini mendakwa IPCMC ditubuhkan untuk menghukum anggota dan pegawai polis yang menyeleweng. Ia juga mendesak pegawai kanan polis dilihat dalam jawatankuasa memantau suruhanjaya itu.
Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (Mexpa) Hussin Awang Ngah memberitahu The Malaysian Insight, pihaknya menyokong pendirian Hamid mengenai isu berkenaan, iaitu memastikan kebajikan polis dan rakyat.

“Baru-baru ini IGP (ketua polis negara) kata dia akan pastikan kebajikan polis. Dia juga kata IPCMC akan beri manfaat kepada masyarakat juga,” kata Hussin.
“Jadi kami, sebagai pesara polis, sokong pendiriannya atas isu ini.”
Bagaimanapun Hussin mencadangkan IPCMC yang akan dibentuk akan melibatkan anggota polis sebagai anggota suruhanjaya.
“Kalau IPCMC untuk kebaikan pasukan polis, saya sokong. Bagaimanapun saya saya polis tidak diketepikan.
“Bagus kalau suruhanjayanya melibatkan polis sebagai anggota,” tambahnya.
Selepas mengambil alih sebagai ketua polis negara minggu lalu, Hamid berkata beliau akan memastikan IPCMC memberi manfaat kepada polis dan rakyat.
“Saya menyokong hasrat kerajaan untuk meningkat imej, kebajikan dan keberkesanan PDRM.
“Sebagai IGP saya ambil tanggungjawab untuk pastikan PDRM akan dapat hasil yang terbaik dari semua sudut sementara orang ramai pula akan rasa terbela dan pasti mendapat khidmat terbaik dari penubuhan IPCMC,” katanya, seperti dipetik Malaysiakini.

Penubuhan IPCMC adalah antara 125 cadangan dalam laporan siasatan Suruhanjaya Diraja untuk Meningkatkan Pengurusan Operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diumumkan pada Mei 2005, susulan siri kematian tahanan polis.
Pada 2006, pasukan polis di bawah teraju ketuanya pada masa itu, Mohd Bakri Omar menggerakkan kempen menolak IPCMC.
Ibu pejabat polis di Bukit Aman malam mengeluarkan edisi khas buletin dalaman Berita Bukit Aman menyelar IPCMC sebagai “tidak berperlembagaan, prejudis kepada keselamatan negara dan ketenteraman awam, boleh mencetuskan kekacauan dan meremehkan kuasa kerajaan”.
Pada September tahun lalu, The Malaysian Insight melaporkan Putrajaya setuju menubuhkan IPCMC, yang tertangguh sejak 13 tahun lalu, selepas Bukit Aman gagal mengemukakan pelannya sendiri untuk meningkatkan tadbir urus dalam pasukan polis.
Sementara itu, anggota polis yang masih berkhidmat memberitahu The Malaysian Insight mereka berharap IPCMC bukan ditubuhkan semata-mata untuk menghukum polis.
Seorang timbalan superintenden polis di ibu pejabat polis Selangor berkata beliau tiada masalah dengan pelaksanaan IPCMC asal saja pegawai dan anggota polis diberi layanan adil dalam kes disiplin.

“Saya okay. Polis ada Jabatan Integriti dan Standard (JIPS) sendiri tetapi kalau kerajaan rasa IPCMC perlu, kita kena ikut,” katanya, yang enggan identitinya didedahkan.
Seorang penolong pesuruhjaya kanan sebaliknya tidak setuju dengan IPCMC tetapi berkata sebagai penjawat awam beliau tiada pilihan terhadap keputusan kerajaan.
“Kita ada JIPS dan kita ada Suruhanjaya Pasukan Polis yang dipengerusikan Menteri Dalam Negeri. Perlukan sebuah lagi badan untuk memantau kita?
“Tetapi kalau tidak setuju pun, saya kena terima keputusan muktamadnya. Saya percaya IGP akan memastikan kebajikan kami dan orang awam.
“Saya harap IPCMC bukan hanya untuk cari salah kami, ia mesti adil,” katanya. – 9 Mei, 2019
Komen